
Lim Guan Eng tidak boleh dilantik semula menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kata anak didiknya, Chow Kon Yeow.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih pernah memegang jawatan itu selama dua penggal sebelum ini iaitu tahun 2008 hingga 2018.
Menurut Kon Yeow, merujuk kepada peruntukan Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, ia jelas memperuntukkan bahawa ketua menteri hendaklah dilantik dalam kalangan orang yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan ketua menteri bagi dua penggal.
Sebelum ini media melaporkan terdapat usaha dalaman DAP untuk menggantikan Kon Yeow sebagai ketua menteri selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Laporan berita itu turut mendakwa gerakan itu mahukan Guan Eng kembali memimpin kerajaan negeri selepas Kon Yeow dikatakan tidak berkesan sepanjang menjawat jawatan itu.
Namun Guan Eng menafikan dakwaan tersebut sambil menegaskan tiada satu pun ADUN Pulau Pinang dari DAP yang bercakap kepada media tersebut.