
Untuk rekod program 'Jom Ziarah' dianjurkan Impact Malaysia sebuah badan atau inisiatif di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di mana Ahli Parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh adalah menterinya.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menuduh pemimpin Bersatu dan PAS menjejaskan muhibah dalam kalangan perbagai kaum dan keharmonian agama apabila terus menyerang Menteri Belia dan Sukan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Hannah Yeoh.
Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa gabungan Perikatan Nasional (PN) mengeksploitasi pembohongan untuk menimbulkan kebencian dan ketakutan terhadap Ahli Parlimen DAP Segambut, sehingga terpaksa berulang kali membuat laporan polis.
Beliau juga mendakwa Bersatu dan PAS memainkan politik tidak beretika dan tidak bertanggungjawab, khususnya apabila melibatkan isu ‘Jom Ziarah’ dan Sukan Malaysia (SUKMA).
“Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata, Hannah telah menggunakan kuasa Menterinya untuk menafikan hak Kelantan untuk menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma 2024).
“Hakikatnya kerajaan negeri Kelantan telah bersetuju untuk menganjurkan SUKMA edisi 2028 bagi memberi masa tambahan untuk membuat persiapan dan membina fasiliti sukan di sana.
“Hannah juga tertakluk kepada fitnah hebat oleh seorang pemimpin Bersatu yang menuduhnya menyokong inisiatif ‘Jom Ziarah’ untuk lawatan gereja oleh NGO dengan dana daripada kementeriannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata Hannah dituduh membenarkan program kristianisasi yang menyasarkan belia Islam, walaupun Hannah telah menegaskan bahawa tiada orang Islam sebaliknya hanya belia bukan Islam yang terlibat.
“Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan juga turut terlibat dengan pelbagai tuduhan liar dan tidak berasas terhadap Hannah,” kata Guan Eng.
Untuk rekod program ‘Jom Ziarah’ itu dianjurkan Impact Malaysia sebuah badan atau inisiatif di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Setiap menteri bertanggungjawab terhadap semua aktiviti dan program anjuran agensi dan badan di bawah kelolaan kementerian mereka.
Program itu mula disedari ramai setelah ahli Bersatu Port Dickson yang juga Pengerusi Penaja Muafakat Nasional Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin, memuat naik kenyataan mengecam Hannah dalam Facebooknya berhubung iklan ‘Jom Ziarah Gereja’ yang disiarkan dalam bahasa Melayu.
Susulan itu, Setiausaha Politik Hannah, Dayangku Norhazwani Awangku Marsal membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Che’gu Bard, atas tuduhan fitnah.
Bagaimanapun, kelmarin (16 Mac) Che’gu Bard membuat laporan balas polis terhadap Hannah berhubung program berkenaan.
Antara lain dalam laporan polis itu, Badrul Hisham memetik buku tulisan Hannah ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang mencertiakan mengenai perjalanan hidupnya sebagai penganut Kristian.
“Di mana buku tersebut sendiri penuh dengan tulisan mempromosi agama Kristian. Dalam buku tersebut juga tertulis penglibatan dia di dalam bidang politik dibantu oleh pihak Kristian, baik dari segi dana mahupun kempen.
“Tanpa berselindung dalam buku itu menulis bagaimana beliau menggunakan kedudukan politik beliau untuk berdakwah mengenai agama Kristian.
“Tidak tertinggal seruan dia kepada ahli-ahli felo Kristian seberang laut, khususnya dan penganut agama Kristian umumnya untuk mengikut jejak langkah beliau menceburkan diri dalam bidang politik untuk membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian,” kata Badrul Hisham.
Semalam, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata program di mana orang Islam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja, dan gurdwara untuk mempelajari agama-agama ini selain daripada agama sendiri harus ditolak dan disekat.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika mengulas lawatan gereja oleh Impact Malaysia yang dirancang itu, berkata MAIS melihat program berkenaan mempunyai elemen untuk menarik perhatian belia “terutamanya belia Islam” untuk belajar dan menimba ilmu tentang agama selain Islam.
“Program sebegini jika dibenarkan dianjurkan, boleh mempengaruhi pemikiran remaja Islam secara halus dan tanpa sedar untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain Islam yang mereka anuti.
“”Di Selangor, apa-apa program yang dibuat bagi tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988,” katanya.