Guan Eng, kerajaan DAP Pulau Pinang kurang ajar menipu isu vaksin

Tindakan emosional Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, yang menuduh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terlibat dalam “perlakuan satu jenayah” berhubung penyediaan dos vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah tuduhan serius.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, tuduhan palsu dan jahat daripada pemimpin Cina DAP itu bagai seperti sengaja dilakukannya demi meraih simpati politik.

Tegasnya, perkara itu bukan satu jenaka atau perkara yang perlu dipolitikkan.

“Saya menganggap tindakan pemimpin DAP dan kerajaan Pulau Pinang telah ‘rosak mentaliti’ demi meraih simpati rakyat serta menuduh secara jahat kepada kerajaan PN.

“Malahan, pada awal pandemik Covid-19 melanda negara ini, tiada apa-apa pun pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang boleh dibanggakan untuk mengekang wabak ini,” katanya hari ini.

Katanya lebih memburukkan keadaan, ungkapan “Kepala Otak Dia” oleh Guan Eng dalam satu video dimuatnaik dalam Facebook yang merujuk kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK adalah satu penghinaan kepada seorang Menteri Kabinet.

“Ini satu perbuatan kurang ajar dari seorang pemimpin kanan parti DAP yang dilihat terlampau beremosi berikutan tidak boleh menerima kenyataan Khairy Jamaluddin yang menjelaskan tawaran dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma kepada kerajaan Pulau Pinang adalah palsu, malahan pemeriksaan pihak Kerajaan mendapati syarikat yang membuat tawaran berkenaan, Xintai Development Enteprise Ltd, berpangkalan di Hong Kong, tidak wujud,” katanya.

Tegasnya, tindakan penipuan Guan Eng dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow boleh dipersoalkan dan dianggap tidak mempunyai integriti serta pentadbiran yang tidak cekap andainya benar seperti mana yang dimaklumkan oleh Khairy.

“Sehubungan itu, saya turut menyokong tindakan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk membuat laporan polis di atas tindakan kerajaan Pulau Pinang yang dikatakan menggunakan surat palsu untuk menuduh kerajaan PN menghalang pemberian vaksin ini,” katanya.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan, susulan pendedahan penipuan derma syarikat “scam” vaksin Covid-19, Kon Yeow yang malu terpaksa membuat permohonan maaf kepada Khairy dan kerajaan pusat.

Kon Yeow mengakui kesilapannya berhubung isu derma vaksin tersebut selepas pendedahan syarikat yang menawarkan tawaran dua juta dos vaksin Covid-19 itu tidak wujud oleh Khairy baru-baru ini.

Malahan, Khairy juga sudah mengarahkan pegawainya menghubungi individu yang dikatakan mahu menderma vaksin tersebut dan mendapati tiada sebarang tawaran dibuat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

BERITA BERKAIT
POPULAR