Guan Eng diingat buka Parlimen bukan macam melawat sekolah

Blok pembangkang dibidas kerana masih bermain sentimen politik hasutan berhubung isu pembukaan Parlimen, tatkala kerajaan bertungkus-lumus menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan memerangi pandemik Covid-19 demi rakyat.

Ketua Penerangan Armada Bersatu Nasional Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, situasi sebenarnya langsung tidak timbul perihal kerajaan tidak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, malah tindakan kerajaan selari dengan titah baginda.

“Malah secara terangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu sebelum Majlis Raja-Raja dan Agong menitahkan cadangan untuk Parlimen bersidang, pada pembentangan PPN, Muhyiddin sendiri telah memperjelaskan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen bermula sekitar September atau Oktober.

“Jangkaan pembukaan Parlimen yang dicadangkan Perdana Menteri juga bertepatan dengan proses perundangan serta Berpelembagaan mengikut ketetapan Peraturan Mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang dilihat berniat jahat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di laman Facebooknya bertujuan mengelirukan orang ramai berhubung Jawatankuasa Pembukaan Parlimen.

Selain Guan Eng, kenyataan beberapa pemimpin pembangkang dan pemimpin UMNO yang bersekutu dengan mereka, juga menggambarkan seolah-olah Perdana Menteri menolak titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf menegaskan bahawa umum perlu tahu, menjelang pembukaan Parlimen ia perlu mengikut proses undang-undang dan Perlembagaan, seperti notis 28 hari, penghantaran soalan dan penyediaan jawapan, supaya perbincangan menjadi lebih rapi.

“Utamanya atas titah Di Raja yang mahu Pelan Pemulihan Negara dilaksankan dengan jaya. Bukan main buka saja parlimen, ini bukan lawatan sekolah! Apatah lagi Mesyuarat Jawatakuasa Kemajuan Kampung dan Keselamatan (JKKK),” katanya.

Beliau berkata kebiasaannya setiap kali sidang Dewan Rakyat diadakan bukan sekadar Ahli Parlimen yang hadir, malah pegawai kepada menteri, pegawai Ahli Parlimen, petugas media serta kakitangan Parlimen, juga turut sama.

“Selain petugas kesihatan yang sedang bertungkus lumus diperlukan untuk pengurusan pemberian vaksin, disebabkan terpaksa memberikan fokus kepada Ahli-Ahli Parlimen yang mahu meneruskan birokrasi, maka sejumlah besar juga petugas kesihatan perlu ditempatkan untuk pantau perjalanan Parlimen,” katanya.

Beliau mengingatkan selain barisan hadapan, bukan semua petugas Dewan Rakyat, pegawai menteri malah pengawai Ahli Parlimen telah mendapatkan vaksin.

“Oleh itu sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi meninjau pengurusan hal pembukaan Parlimen. Ini penting dalam menentukan bentuk persidangan sama ada bersemuka atau secara hibrid dan mengikut Perlembagaan,

Terdahulu, Perdana Menteri berkata sebuah jawatankuasa khas yang turut diwakili blok pembangkang dibentuk bagi meneliti pelbagai aspek penting sebelum sidang Dewan Rakyat boleh diadakan dalam suasana pandemik Covid-19 masih berleluasa.

Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu akan mengambil kira sama ada sidang Dewan Rakyat boleh dibuat secara fizikal atau secara hibrid.

BERITA BERKAIT
POPULAR