
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Datuk Seri Shahidan Kassim tidak berpuas hati dengan kritikan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dengan membidasnya sebagai bekas Ketua Menteri yang gagal berhubung pembinaan terowong bawah tanah.
Menteri Wilayah Persekutuan itu menyifatkan dakwaan gagal menangani isu banjir di ibu kota dan melabelnya sebagai menteri gagal adalah tidak wajar, sebaliknya Guan Eng yang gagal kerana dihadapkan ke mahkamah.
“Kalau Guan Eng kata saya gagal urus banjir, sekarang saya dah buktikan semua ahli parlimen DAP di Wilayah Persekutuan menyokong saya.
“Guan Eng bukan duduk di Wilayah Persekutuan pun, pergi la Pulau Pinang. Dia (Guan Eng) adalah bekas Ketua Menteri terowong yang gagal,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Terdahulu, Guan Eng melabel Shahidan tergolong dalam kalangan 10 menteri yang gagal.
Tegas Shahidan, beliau tidak dianggap gagal memandangkan semua Ahli Parlimen DAP di Wilayah Persekutuan menyokongnya dalam hal berkaitan pengurusan banjir kilat di Kuala Lumpur.
Katanya, beliau telah berjaya menangani isu banjir kilat di ibu negara dengan sebaiknya menerusi beberapa tindakan diambil sebelum ini.
Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan itu mendakwa Shahidan disifatkan gagal mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan lalu lintas yang semakin teruk dan projek tebatan banjir di Kuala Lumpur.
Malah, beliau turut mendakwa Ahli Parlimen Arau itu mengamalkan dasar ekstremis Pas dengan mengambil langkah ke arah mengharamkan konsert artis antarabangsa dan penjualan arak di kedai ubat tradisional Cina.
Pada Jun lalu, Shahidan mengambil inisiatif bagi membawa Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan melawat projek mitigasi banjir jangka pendek di sekitar ibu negara.
Antara Ahli Parlimen pembangkang yang turut sama dalam lawatan itu adalah Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Teresa Kok (Seputeh), P Prabakaran (Batu) dan Lim Lip Eng (Kepong).
Menerusi lawatan berkenaan, Shahidan dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan langkah-langkah untuk mengawal banjir kepada ahli parlimen terlibat di setiap hentian lokasi hotspot tersebut.