Gesa bantu rakyat dan henti berpolitik, TPM tegur siapa?

Semua pihak termasuk ahli politik digesa membantu rakyat dan berhenti berpolitik pada ketika negara sedang berdepan krisis pandemik, kata Timbalan Perdana Menteri selepas kontroversi tindakan segelintir pemimpin UMNO yang cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan berpolitik semasa rakyat sedang berdepan kesusahan adalah tidak wajar sama sekali dan fokus sepatutnya ditumpukan ke arah usaha menangani Covid-19 yang sedang didepani negara ketika ini.

“Janganlah kita berpolitik dalam keadaan sekarang ini kerana rakyat sedang mengalami kesusahan dan memerlukan fokus sepenuhnya bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga parti-parti politik supaya kita dapat membantu rakyat,” katanya lapor Bernama.

Ismail Sabri terdahulu melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Tegasnya, semua pihak perlu menyokong usaha-usaha dan strategi yang sedang dilakukan kerajaan untuk melawan Covid-19 bagi memastikan rangka ke arah pemulihan negara dapat dicapai dengan segera.

“Sekarang ini fokus kita mestilah membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan dan dalam masa yang sama strategi untuk menentang COVID-19 ini perlu juga disokong oleh semua,” katanya lagi.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Suhu politik negara kembali hangat susulan tindakan UMNO menerusi Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas Mesyuarat Tertinggi pada Rabu membuat keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan dan mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berundur.

Zahid berterusan memberi tekanan terhadap kerajaan PN dan mahu meneruskan cita-cita jajaran baharu yang diwar-warkannya sebelum ini.

Zahid dan rakan karibnya, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang terpalit dengan pakatan sulit dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang merancang ke arah pembentukan jajaran baharu, ia termasuk kerjasama dengan DAP.

Tular juga sebelum ini surat sokongan kedua-dua mereka yang menyokong Anwar dan klip audio perbualan pakatan sulit Zahid bersama Anwar.

BERITA BERKAIT
POPULAR