Gerakan Ketua AMK akan sekat agenda Anwar heret kerjasama PKR-UMNO

Sayap pemuda PKR, AMK kini dikatakan berpecah kepada dua kumpulan antara pengikut Rafizi Ramli, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Ketua AMK) dan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ketika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang asyik dengan cita-cita untuk menjayakan kerjasama dengan UMNO, tiba-tiba Ketua-Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri yang menyokong kuat usaha tersebut disingkirkan daripada jawatan mereka.

Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi dan Ketua AMK Perlis, Nor Azam Karap antara pengikut setia Anwar yang disingkir, malah mereka berdua sering mengeluarkan kenyataan senada dengan bos mereka yang membuka pintu kepada UMNO untuk bekerjasama.

Ia termasuk, Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman yang sering mengeluarkan kenyataan kuat memihak kepada UMNO selari dengan pendirian Anwar.

Kumpulan ini adalah kartel baharu yang dikatakan dikepalai orang kanan Anwar yang juga Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ketua AMK Nasional Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang merupakan anak didik Rafizi Ramli berseteru dengan kem Farhash Wafa Salvador, pergaduhan secara terbuka sebelum ini memberikan gambaran sebenar perpecahan tersebut bukan kecil dan ia semakin menjadi barah dalam parti.

Sumber PKR mendedahkan, Akmal Nasir membuat keputusan memecat dua Ketua AMK yang dianggap kesayangan Anwar tanpa merujuk kepada pucuk pimpinan terlebih dahulu, malah Najwan sendiri berkata akan bertemu dengan Ketua Pembangkang itu untuk membangkitkan isu berhubung pemecatannya.

Sekiranya keputusan Akmal Nasir itu mendapat restu Anwar, sudah pasti kumpulan pro-Farhash ini mengetahuinya terlebih dahulu tetapi ia berlaku secara mengejut sehingga menimbulkan spekulasi bakal wujud perpecahan dalaman baharu parti itu.

Bagaimanapun, keberanian Akmal Nasir ini dilihat pemerhati politik menerima restu daripada Rafizi, ia suatu yang mustahil untuk Ahli Parlimen Johor Bahru itu mengambil tindakan sebegitu tegas walaupun diketahui kumpulan tersebut mempunyai hubungan rapat dengan Anwar.

Walaupun berisiko, Akmal Nasir lebih mengutamakan nasihat mentornya, Rafizi yang banyak menasihati dan membantunya naik sehingga menjadi Ketua AMK Nasional.

Namun, langkah-langkah ini dilihat mempunyai kaitan dengan usaha Anwar untuk menjayakan kerjasama dengan UMNO menerusi rundingan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Berbeza dengan kumpulan pro-Anwar dalam PKR yang dilihat semakin kemaruk kuasa, ditambah pula dengan ura-ura Anwar semakin menghampiri tampuk kuasa di Putrajaya, kumpulan Akmal Nasir atau Rafizi ini lebih mempunyai idealisma dan berpegang teguh kepada ideologi parti iaitu menolak perasuah atau kleptokrat yang merosakkan negara.

Kumpulan dengan idealisma ini tidak dapat menerima tindakan Anwar yang berterusan berunding dengan kumpulan ‘Kluster Mahkamah’ UMNO untuk membentuk kerajaan bersama.

Idea untuk meletak Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) juga ditolak sama sekali, ia selepas difahamkan Anwar sudah berjanji kepada Zahid untuk memberikan jawatan tersebut kepadanya jika berjaya menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perkembangan terbaharu ini mungkin akan memberi gambaran PKR bakal berdepan satu lagi krisis sekiranya Anwar mahu mengambil tindakan terhadap Akmal Nasir kerana tindakan tersebut akan dilihat cubaan untuk mematikan langkah Rafizi daripada luar untuk menyekat cita-cita Anwar menjadi Perdana Menteri Ke-9.

Jika dahulu bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menggagalkan usaha Anwar menjadi PM, adakah kali ini sekali lagi orang kepercayaannya akan menggagalkan usaha beliau?

POPULAR