Gelombang perubahan amat luar biasa di Johor apabila akar umbi UMNO beralih arah

Suasana politik di negeri kelahiran UMNO, Johor kini sedang dilanda gelombang perubahan yang amat luar biasa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, keadaan itu dapat dilihat daripada kehadiran ahli dan pimpinan UMNO pelbagai peringkat di hampir semua majlis-majlis perjumpaan dengan pengundi di sekitar negeri ini.

Kehadiran mereka kata beliau, adalah untuk menyokong calon-calon PN walaupun Johor dikatakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Semalam saya berada di Kluang untuk menyokong calon-calon Dewan Undangan Negeri (DUN) kita, seorang wanita yang mengakui dirinya merupakan Ketua UMNO cawangan dan dia berkata menyokong Tan Sri (Muhyiddin) dan PN.

“Seminggu yang lepas saya dapat satu video seorang wanita bernama Kak Bada yang berkata dirinya sudah 14 tahun menjadi Ketua Wanita UMNO Simpang Renggam dan mengakui tetap akan menyokong saya dan PN walaupun berlainan parti,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Ceramah Umum PN DUN Semerah di Bilik Gerakan PN Parit Sulong, Batu Pahat di Johor pada malam Rabu.

Jelas Presiden Bersatu itu, senario ini adalah satu gelombang perubahan dan pembaharuan besar yang pernah berlaku di Johor sebelum ini.

Menurut bekas Perdana Menteri berkenaan, ini juga menunjukkan Johor tidal lagi menjadi kubu kuat UMNO dan BN.

“Benteng ini sudah pecah pada 2018 yang lepas dan UMNO telah kalah pada ketika itu,” tegas beliau.

Majlis pada malam ini turut dihadiri oleh Timbalan Presdin Bersatu, Ahmad Faizul Azumu; Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudddin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai serta calon-calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah dan Sri Mersing iaitu Datuk Aris Samsuddin dan Halim Othman Kepol. – Kredit SatuBerita

BERITA BERKAIT
POPULAR