
Cikgu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Selepas gagal untuk memujukDatuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang semakin menggila mendesak pilihan raya umum ke-15 disegerakan, kini Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa akur berdepan dengan anak muridnya itu.
Presiden PKR itu yang dianggap cikgu sendiri oleh Zahid kini mengakui PRU-15 berkemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa terdekat dan dijangka seawal Oktober ini selepas UMNO semakin hilang pertimbangan apabila Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara.
Bagaimanapun, Anwar berkata Pakatan Harapan (PH) sudah mengambil persediaan awal dengan gabungan itu merangka strategi baharu, dengan mengambil kira kelemahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.
“Pada Oktober, kita sudah bersedia sepenuhnya. Kita akui beberapa kelemahan dalam PRN dan kini kita lihat suasananya sudah berbeza.
“Kita sebagai satu pasukan dan sebahagian besar (keputusan PRN) adalah terpalit daripada penguasaan selama 22 bulan kerajaan PH, sama ada sumbangan atau kelemahannya.
“Disebabkan itu, dalam mesyuarat lalu, keputusan kita adalah untuk bersama dalam PH dengan satu logo, tetapi dengan membuat penyesuaian supaya tidak dibebankan rakyat dengan anggapan bahawa pendekatan kita adalah sama.
“Kalau Keadilan (PKR) di bawah Pengarah Pilihan Raya (Timbalan Presiden, Rafizi Ramli) sekarang, strateginya jauh berbeza,” katanya semasa Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 hari ini.
Ditanya sama ada PH akan menyertai khemah besar, Anwar berkata: “Mesyuarat PH yang lalu memutuskan dengan jelas bahawa keutamaan gabungan itu adalah memperkukuh dan membulat tekad PH sebagai satu badan… noktah.
“PH adalah gabungan yang kuat, jadi kita perkukuh gabungan ini. Gabungan ini sudah membuktikannya pada PRU 2013 dan 2018, jadi kita harus perkuatkan sedikit lagi. Dalam mesyuarat PH dan terbaru (sudah diputuskan), tidak timbul lagi masalah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, masih terlalu awal untuk parti dan gabungan itu menetapkan sasaran untuk memenangi mana-mana negeri pada PRU akan datang, selain tiga negeri yang dikuasai sebelum ini.
“Kita perlu melihat data dan kita peroleh data ini setiap akhir bulan. Mungkin dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang, gambarannya lebih jelas,” katanya.