Gagal jadi calon, pemimpin PKR saman rakan parti

Kerana tidak dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan undang-undang terhadap lapan rakan dalam parti itu.

Bekas calon DUN Rengit pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Malik Faishal Ahmad mengemukakan saman terhadap Khairuddin A Rahim yang sebelum ini keluar daripada Amanah dan menyertai PKR serta tujuh individu lain.

Tindakan itu diambil kerana semua individu terbabit menuduh dia terlibat dalam meminta suapan puluhan ribu ringgit daripada kontraktor ketika menjadi Ketua Whip PKR di Majlis Perbandaran Batu Pahat, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pada 19 Februari 2022 lalu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Khairuddin sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi DUN Rengit.

Memetik laporan Malaysiakini, Malik mendakwa tindakan lapan individu itu telah menyebabkan dia hilang peluang untuk bertanding apabila mereka menghantar memorandum yang mengandungi tuduhan ‘fitnah’ kepada kepimpinan PKR.

Bagaimanapun Malik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

“Akibat daripada perkataan-perkataan fitnah tersebut, anak guam kami telah kehilangan peluang untuk dilantik sebagai calon pilihan raya negeri Johor bagi kawasan N25 DUN Rengit yang telah dijanjikan,” menurut surat tuntutan yang dihantar melalui peguam Malik, Manian K Marappan.

“Perkataan-perkataan fitnah yang memfitnah anak guam kami dibawa ke skandal awam, kebencian dan penghinaan oleh rakan-rakan, kenalan-kenalan dan masyarakat awam di sekitar Batu Pahat dan Rengit dan juga pimpinan Parti Keadilan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Berdasarkan dokumen yang dilihat Malaysiakini, lapan individu itu menghantar memorandum berkenaan kepada pemimpin tertinggi PKR dengan mendakwa pemimpin tertentu dari PKR, Amanah dan Bersatu menerima suapan puluhan ribu ringgit di atas kelulusan kerja-kerja yang ditawarkan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat kepada kontraktor.

Mereka memaklumkan kepimpinan PKR bahawa Pakatan Harapan Batu Pahat tidak boleh menerima individu yang didakwa menerima rasuah dan tidak berintegriti untuk memimpin mereka dan “apatah lagi untuk menjadi calon pilihan raya”.

Malik, yang dilantik sebagai penyelaras PKR Rengit tahun lepas, menuntut Khairuddin dan tujuh yang lain menarik balik kenyataan mereka dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

Dia juga menuntut ganti rugi dan kos yang dialami berikutan kenyataan mereka dengan jumlah kuantum harus dipersetujui pihak terlibat.

Mereka juga diberi tempoh selama tujuh hari daripada tarikh notis itu untuk memberikan sebarang maklum balas.

Sementara itu, Khairuddin mengesahkan telah menerima surat tuntutan daripada Malik dan telah merujuk perkara itu kepada peguamnya.

Menurut bekas Adun Amanah itu, dia hanya menyokong “rakan” yang melaporkan dakwaan rasuah kepada parti itu dengan harapan siasatan dijalankan.

“Saya kata saya menyokong siasatan tu. Apa-apa pun kalau orang bawa saya sokong untuk disiasat. Sesiapa pun tapi tak semestinya bersalah

“Ia bukan tuduhan. Pasal dia kata kita tuduh, kita tak tuduh dia.

“Ini internal problem (masalah dalaman), ia bukan dibawa keluar. Sebab dia kata dia tak dapat bertanding sebab benda (tuduhan) tu. Saya pun tak tahu, saya pun tak dapat komenlah kerana benda tu ke, wallahualam,” katanya.

Khairuddin yang juga penyandang kerusi DUN Senggarang yakin kes itu tidak akan menjejaskan kempennya di kerusi DUN Rengit.

BERITA BERKAIT
POPULAR