Fasal 10 UMNO boleh digunakan lucut jawatan Zahid, kata bekas ahli UMNO

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Jawatan Presiden UMNO yang dipegang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh terlucut serta-merta sekiranya Fasal 10 perlembagaan parti itu dikuatkuasakan, kata seorang bekas ahli parti yang pernah menjadi mangsa dihukum dibawah peraturan tersebut.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman tampil mendesak Zahid dan pemimpin UMNO yang berdepan kes mahkamah dikenakan tindakan mengikut fasal tersebut memandangkan sudah wujud kes terdahulu yang boleh dijadikan tauladan apabila beliau sendiri dipecat daripada parti akibat penggunaan peraturan tersebut.

“Apakah peraturan itu hanya kepada rakyat marhaen macam saya? Kepada Ahli Majlis Tertinggi? Setiausaha dan Presiden bagaimana? Sedangkan saya punya kes tidak libatkan rasuah, salah guna kuasa, merompak. Saya digugurkan dan dipecat. Kenapa zaman itu terpakai tapi sekarang tidak terpakai?” kata beliau kepada Agenda Daily.

Suhaili dipecat pada 2009 dan hilang jawatan Ketua UMNO Bahagian Labuan ekoran pendakwaan yang dihadapinya di mahkamah pada waktu itu.

UMNO tida sepatutnya berat sebelah dalam menjatuhkan hukuman terhadap ahli biasa dalam parti apabila pemimpin atasan boleh pula terlepas daripada sebarang hukuman, kata Suhaili lagi.

“Ini maknanya UMNO ‘double standard’ sebab peraturan itu sepatutnya digunakan kepada Ahmad Zahid sekali, sebab peraturan ini telah digunakan pada 2009.sekarang, adil tak adil kepada Ahli lain?” katanya lagi.

Beliau juga mempersoalkan tindakan dikenakan terhadapnya 12 tahun lalu apabila tidak diberikan peluang untuk membela diri walhal ketika ini pemimpin UMNO yang sarat terpalit dengan kes mahkamah masih kekal memegang jawatan mereka.

“Saya adalah bekas ahli UMNO pertama dan terakhir peraturan itu digunakan pada saya. Sedangkan banyak lagi pimpinan dalam UMNO sekarang yang terpalit dengan kes mahkamah.

“Dulu saya langsung tak diberi ruang untuk membuat penjelasan, jawatan pun tak di kembalikan kepada saya walaupun kes dah selesai. 12 tahun kes ini sudah berlalu, tapi hari ini biar semua orang tahu tentang ketidakadilan perjuangan UMNO sebenarnya,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Zahid sedang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Selain Zahid, beberapa pemimpin atasan UMNO lain yang berdepan kes mahkamah antaranya bekas presiden, Datuk Seri Najib Razak, bekas setiausaha agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan beberapa individu yang lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) boleh menggunakan Fasal 5.7 yang menyatakan ‘Majlis Tertinggi berhak membuat apa-apa keputusan atas mana-mana permohonan pendaftaran keahlian atau taraf sesuatu pendaftaran itu (termasuk menarik balik pendaftaran) dan keputusan itu adalah muktamad.’

Ahli MKT juga boleh menggunakan Fasal 10.7 untuk mengambil tindakan terhadap Zahid. Fasal itu menyatakan Majlis Tertinggi (MT) boleh menentukan taraf pendaftaran seseorang ahli (mengikut Fasal 5.7), menggantung atau melucutkan keahlian seseorang ahli.

Fasal itu bertepatan dengan apa yang pernah berlaku 2009 lalu di mana MKT UMNO dalam mesyuarat selama kira-kira dua jam membuat keputusan ahli yang menghadapi dakwaan di mahkamah akan digantung daripada jawatan dalam parti serta-merta.

Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Razak berkata, MT UMNO secara prinsipnya menerima syor Jawatankuasa Pengurusan parti untuk menguatkuasakan peraturan berkenaan.