
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil bidas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hanya pentingkan diri sendiri.
Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang berterusan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan disifatkan tidak sensitifif.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil membidas Asyraf hanya pentingkan diri sendiri dan tidak memahami kesusahan rakyat dihadapi rakyat susulan kenaikan harga barang dengan berterusan membuat desakan supaya PRU-15 diawalkan.
“Saya rasa Datuk Asyraf seakan-akan tidak sensitif. Rakyat tengah sengsara cari kerja, dengan minyak dan ayam harga tinggi tetapi beliau mahu PRU. Saya rasa ini hanya memikirkan periuk nasi sendiri, dia patut fikirkan periuk nasi rakyat.
“Pada waktu ini, semua pihak sedang berusaha untuk membantu rakyat. Macam saya, tengah bantu rakyat di Lembah Pantai, tetapi beliau hendak PRU, saya rasa tidak sesuai,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dipetik laporan media.
Pada Jumaat, Asyraf memaklumkan bahawa PRU15 mungkin diadakan seawal-awalnya dalam tempoh dua bulan dari sekarang dengan jangkaan sama ada September atau Oktober.
Perkara tersebut disuarakan berdasarkan keperluan segera untuk mengembalikan mandat kepada rakyat dalam usaha menstabilkan kerajaan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Asyraf seharusnya mengikuti prosedur yang ada tanpa melangkaui proses yang ditetapkan.
Untuk rekod, selain Asyraf yang mendesak supaya PRU-15 disegerakan, pemimpin utama UMNO lain seperti Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sebelum ini membuat desakan yang sama supaya PRU-15 disegerakan.