
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Datuk Seri Fadillah Yusof secara terbuka mempelawa Perikatan Nasional (PN) menyertai kerajaan perpaduan daripada terus berpolitik.
Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak itu berkata berkata penyertaan PN boleh dilakukan demi kesejahteraan rakyat serta melicinkan usaha pemulihan ekonomi, bagaimana umum mengetahui UMNO dan DAP pasti tidak akan bersetuju dengan pelawaan tersebut.
Katanya, PN perlu sedar akibat terlalu banyak berpolitik, ia memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
“Yang paling utama sekarang ialah untuk memastikan kestabilan politik dan kerajaan perpaduan bukan sahaja merangkumi semua wilayah dalam Malaysia tetapi mewakili semua etnik dan agama.
“Malahan, kalau dapat dicadangkan kepada PN, sertailah kerajaan perpaduan supaya tidak ada lagi politik dan kita bersama-sama membangunkan negara,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Pesta Samariang 2023 di Kampung Tunku, Petra Jaya.
Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor, semalam, yang mendakwa kerajaan perpaduan gagal mencapai prestasi seperti diharapkan.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Sanusi berhak menyatakan apa sahaja pandangannya, namun rakyat yang akan menilai setiap apa yang dikatakannya.
“Setiap orang ada hak untuk menyatakan pandangan tetapi akhirnya rakyat akan menentukan sama ada apa yang dinyatakan itu betul atau tidak dan sekarang negara memerlukan kestabilan politik kerana ia akan memudahkan pemulihan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat.
“Apabila politik stabil, barulah kita dapat fokus untuk membangunkan negara, memulihkan ekonomi kerana jika terlalu banyak politik ianya akan beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara kita.
“Jadi bersatu berpadulah kita sebagai sebuah negara, cukup-cukuplah (berpolitik),” katanya.