
PMX sebelum ini berjanji untuk memberi kebebasan mahasiswa universiti, kata Syed Saddiq.
PKR mengulangi pendirian tidak meneruskan rundingan kerusi dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kerana tidak mahu membuang masa terlalu lama, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Presiden PKR itu mengambil keputusan dengan meletak seorang calon yang melompat parti daripada Amanah sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, iaitu penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang Khairudin A Rahim.
Anwar mengumumkan Khairudin akan bertanding di DUN Rengit yang bersempadan dengan Senggarang. DUN Senggarang kekal ditandingi Amanah.
Untuk rekod, Khairudin sebelum ini bertanding atas tiket Amanah dan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14, tetapi melompat masuk PKR tahun lalu.
Nampaknya Anwar mengulangi episod sama PRN Melaka apabila membuat keputusan dengan meletak calon lompat parti bertanding atas tiket PKR, dua bekas wakil UMNO diletak bertanding di Melaka sebelum ini.
PKR kini sudah mengumumkan semua 20 calon mereka dan Anwar berharap mereka semua dapat menumpukan kepada kerja untuk berkempen dengan segera tanpa sebarang gangguan.
“Tak mahu sibuk soal lain. Ada satu dua soal lain itu biar pimpinan runding dan cuba selesaikan. Kita tumpu kerja kita sesungguhnya,” kata Anwar dipetik laporan Malaysiakini semasa majlis PKR di Pasir Gudang semalam.
Berhubung keputusan menamatkan rundingan dengan parti MUDA dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pembangkang itu memberi alasan tidak mahu membuang masa terlalu lama.
“Kita tak boleh tunggu lagi, jentera harus siap (buat persediaan). Kita bukan parti kaya, kita parti marhaen oleh itu persiapan (perlu) dari awal,” katanya lagi.
PKR tidak akan menyerahkan mana-mana kerusinya kepada Muda.