
Dewan Undangan Negeri Melaka bubar setelah empat ADUN menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan UMNO.
Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam menerima cadangan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan hari ini.
Perkara itu diumumkan oleh Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam kenyataan medianya hari ini.
Selain itu, Ab Rauf berkata nasihat agar DUN Melaka dibubarkan itu dibuat Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang kemudiannya dipersetujui Mohd Ali.
“Yang di-Pertua Negeri Melaka telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober 2021 (Isnin).
“Proklamasi pembubaran DUN Melaka akan diwartakan hari ini, (5 Okt Oktober 2021, Selasa),” kata Ab Rauf.
Mengikut perlembagaan, selepas DUN dibubarkan sebuah pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Melaka dilanda kemelut politik selepas empat Adun kerajaan diketuai bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan Barisan Nasional-Perikatan Nasional (BN-PN).
Idris merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memberi jaminan sekiranya berlaku pilihan raya di Melaka, prosedur operasi standard yang ketat akan dilaksanakan.
Ketetapan itu katanya dibuat bagi mengelakkan berulangnya penularan wabak Covid-19 seperti yang pernah berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan pada tahun lalu.
Untuk rekod sehingga malam tadi, 88.2 peratus populasi orang dewasa di Melaka sudah divaksinasi sepenuhnya.
Ditanya mengenai pelaksanaan pilihan raya negeri ketika Covid-19 masih menjadi ancaman, Ab Rauf berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mencadangkan kaedah yang rasakan sesuai.
“Terpulang kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membuat keputusan lanjut,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, dengan pembubaran DUN Melaka hari ini, negeri itu ditadbir oleh kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya negeri selesai dijalankan.