
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menempelak pemimpin dan penyokong kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) berhubung lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi, baru-baru ini.
Ahli Parlimen PN Pasir Mas itu dalam satu kenyataan memetik laporan berita portal Suara Keadilan pada 14 Mac 2021 lalu, di mana Ahli Parlimen Sungai Petani ketika itu, Datuk Johari Abdul (kini Speaker Parlimen) mengatakan lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi adalah ‘lawatan yang gagal’.
“Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dua tahun lepas, Suara Keadilan menyatakan bahawa ”lawatan itu gagal’. Antaranya ialah kerana gagal berjumpa secara fizikal dengan Raja Salman (Raja Arab Saudi).
“Tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu lagi, pertemuan dengan Raja Salman di Istana Al Yamamah secara maya dan gagal berjumpa bersemuka sebaliknya telah menimbulkan pendapat yang pelbagai, serta tidak kurang rakyat yang berpandangan sinis lebih baik lawatan itu diganti dengan sidang atas talian dari Malaysia sahaja.”
“Ketika itu, tidak pula dikatakan bahawa isu ini remeh… kan?,” kata Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS.
Dalam kenyataan yang dipetik daripada portal berkenaan, Johari dilaporkan menyifatkan lawatan rasmi Muhyiddin ke negara Arab, terutama Arab Saudi sebagai gagal.
“Pemergian itu gagal,” kata beliau ketika menurut Suara Keadilan.
Untuk rekod, pada 9 Mac 2021, Muhyiddin tiba tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh dengan disambut oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman.
Amat jarang seorang ketua kerajaan yang melawat di sini disambut sendiri oleh Putera Mahkota Arab Saudi.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang turut berada di sini, mengesahkan sambutan oleh Putera Mahkota Arab Saudi itu tidak dijadualkan lebih awal.
Lawatan Perdana Menteri kali pertama ke Arab Saudi sejak menjawat jawatan pada Mac tahun lalu adalah atas jemputan Raja Salman.
Sebaliknya, Anwar yang berkunjung ke Arab Saudi mulai 22 hingga 24 Mac lalu yang dikatakan ‘lawatan rasmi negara’ hanya disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud.
Anwar juga tidak dapat berjumpa dengan Raja Salman serta Putera Mohammed bin Salman.