Dulu tolak kerjasama bipartisan kini DAP syor Anwar dilantik jadi TPM

Susulan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, de facto DAP, Lim Kit Siang mencadangkang pembentukan ‘kerajaan perpaduan’ dengan ketua pembangkang itu dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata langkah berkenaan membolehkan pembentukan ‘Kabinet Perang’ yang membabitkan semua kuasa politik di Parlimen bagi melawan penularan Covid-19.

Kit Siang juga mendakwa ‘Kabinet Perang’ yang mencerminkan perpaduan Parlimen itu boleh mengubah nasib Malaysia yang gagal dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 20 bulan lalu.

“Sekiranya hanya ada dua nama untuk jawatan Perdana Menteri, seorang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri dan seorang lagi sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membentuk kabinet perang yang melibatkan semua kuasa politik di Parlimen untuk memenangi perang melawan penularan wabak Covid-19 sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dalam masa 18 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, blok pembangkang yang merangkumi DAP, PKR dan AMANAH di bawah Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menolak cadangan kerjasama bipartisan Perdana Menteri sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin

Muhyiddin dalam ucapan ‘Bersama Memulihkan Negara’ berkata dukungan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada part-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh.

Namun, cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh blok pembangkang .

Dalam kenyataan media itu juga, Kit Siang turut memberi angka-angka kes jangkitan Covid-19 di negara ini, seolah-olah mahu menunjukkan kegagalan kerajaan PN untuk melawan Covid-19.

“Kabinet Perang tersebut perlulah mencerminkan perpaduan Parlimen untuk mengubah nasib negara kita yang sedang kalah selama 20 bulan dengan wabak Covid-19 dengan membawa dasar-dasar dan strategi baharu untuk mengawal wabak ini dan mengembalikan harapan, keyakinan, dan kepercayaan rakyat kepada satu pendekatan yang melibatkan ‘keseluruhan masyarakat’,” katanya.

Kit Siang turut mengaitkan nama Almarhum Tunku Abdul Rahman, selain Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, sebagai batu loncatan untuk meletakkan Anwar di kerusi Timbalan Perdana Menteri, jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Parlimen perang ini perlulah membentuk perpaduan negara untuk memerangi wabak Covid-19 dengan Ahli-ahli Parlimen memainkan peranan di dalam pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, bukan sahaja untuk memerangi Covid-19, tetapi juga untuk menyediakan negara kita untuk pemulihan ekonomi dan kehidupan untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, di mana Malaysia menjadi satu “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.

“Kabinet Perang dan Parlimen Perang ini perlulah dibentuk di atas batu asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dan sistem monarki berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, dan penghormatan kepada hak asasi manusia,” kata Kit Siang.

BERITA BERKAIT
POPULAR