
Datuk Rosol Wahid.
Langkah kerajaan campuran memotong peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen (MP) dikritik kerana ia bakal menjejaskan perancangan pembangunan dan kemajuan rakyat serta kawasan di Parlimen.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) peruntukan untuk MP dikurangkan lebih 65 peratus, daripada RM3.8 juga kepada RM1.3 juta pada tahun ini, malah MP pembangkang juga sebelum ini mendakwa mereka tidak diberi peruntukan sama rata.
MP Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata Anwar hanya cakap ‘kencang’ apabila semasa berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berjanji macam-macam untuk memberi pertimbangan sama rata kepada semua MP tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang.
“Ia sudah pasti akan menjejaskan pembangunan dan kemajuan kawasan.
“Masalah sekarang adalah beliau (Anwar) sembang kencang kerana apabila beliau jadi kerajaan, apa-apa saja alasan dibuat untuk justifikasikan tindakan beliau itu.
“Dulu cakap macam-macam, nak itulah inilah, termasuk nak agih sama rata. Mengenai pengurangan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pun kita dapat tahu daripada surat khabar (media),” katanya dipetik laporan BH.
Anwar semalam berkata kerajaan akan mengurangkan peruntukan pembangunan kepada MP pada tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara dan peruntukan pembangunan itu juga akan diberikan secara berperingkat dan akan mempertimbangkan peruntukan tambahan jika ada keperluan mendesak.
Sebelum ini, MP Arau Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa wakil rakyat pembangkang tidak menerima peruntukan sama rata seperti wakil rakyat kerajaan.
“Saya telah mendapat maklumat bahawa semua ahli Parlimen dari kerajaan telah mendapat peruntukan,
“Tetapi hingga ke hari ini tiada peruntukan yang diterima oleh pembangkang terutamanya negeri yang diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya sebelum ini.
Shahidan turut meminta supaya peruntukan yang diagihkan kepada MP kerajaan turut diterima MP pembangkang, seiring dengan janji manifesto pilihan raya mereka.
“Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil. Bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” tagasnya lagi.