Dulu pecat penentang sampai kalah PRU, kini Zahid mahu UMNO berpecah lagi?

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak kini mahu bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika formula memecat kumpulan penentang dalam UMNO menjadi kiblat Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memastikan cita-cita jajaran baharunya tercapai ia berkemungkinan akan mengakibatkan perpecahan yang lebih besar kepada parti.

Zahid mungkin tidak ada pilihan jalan keluar lain, satu-satunya jalan untuk menyelamatkan dirinya daripada hukuman kes mahkamah dihadapinya adalah dengan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Semasa pertemuan dengan Ahli Parlimen (MP) UMNO dan Barisan Nasional (BN), beliau diasak dengan soalan bertubi-tubi berhubung langkah seterusnya jika UMNO bertindak keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi tidak ada jawapan konklusif diberikan, malah dengan liciknya beliau mengalih isu daripada menjawab persoalan tersebut.

Namun, hanya pengakuan berhubung klip audio dan surat sokongan yang dihantar ke Istana Negara direkodkan semasa pertemuan tersebut, ia menurut laporan beberapa media semalam.

Pendedahan tersebut sememangnya dinanti-nantikan selepas sekian lama Zahid mengunci mulut dan membuat penafian kononnya tidak terlibat dalam menghantar surat sokongan dan berpakat secara diam-diam dengan Anwar selepas tular klip audio pada April lalu.

Terbukti dakwaan bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini benar dan juga secara jelas mendedahkan penipuan yang sedang dilakukan oleh Zahid dan rakan karibnya, Datuk Seri Najib Razak.

Nampaknya UMNO kini sedang berdepan satu lagi episod penipuan selepas Najib sebelum ini menipu berhubung isu syarikat pelaburan miliknya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini.

Lihat apa terjadi kepada UMNO, hilang kuasa semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dan terpaksa menagih simpati kepada PAS dan mujur kini dapat menjadi sebahagian dalam kerajaan semula.

Apa sebenarnya dalam minda Presiden sekarang ini, jika menurut pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz berkata Zahid dan Najib kini sudah tersepit kerana sudah membuat perjanjian dengan Anwar untuk menyelesaikan kes mahkamah mereka. Jadi apakah benar perkara ini?

Sukar dibayangkan UMNO akan terpaksa berpayung kepada Anwar dan akan menjadi macai kepada DAP, adakah itu sebenarnya yang Majlis Tertinggi (MT) mahu berlaku kepada UMNO?

Cukuplah kalah PRU14 lalu meninggalkan kesan yang mendalam kepada ahli parti, jangan sekali lagi parti berpecah hanya kerana nafsu segelintir pemimpin atasan yang gila kuasa dan mengheret parti dalam masalah peribadi mereka.

Pendedahan demi pendedahan sudah membuka pekung di dada, penipuan demi penipuan sedang dilakukan oleh Presiden dan konco-konconya, sekarang MT pula mahu bersubahat dalam agenda jahat yang sedang dirancang.

Sekiranya MT juga tunduk dan tidak lagi boleh menilai permainan politik yang akan merosakkan parti, perpecahan yang besar tidak dapat dielakkan lagi. Hanya dengan dengan keberanian dan ketaatan kepada perjuangan parti akan menentukan nasib UMNO selepas ini.

Jika menjadi pentaksub secara membuta-tuli, episod kekalahan PRU14 pasti akan berulang dan nasib orang Melayu pasti akan berada di hujung tanduk.

UMNO bukan parti Sendirian Berhad, ia adalah parti tunggak kepada kaum Melayu yang dibina dengan air mata dan keringat pemimpin terdahulu yang mahu membela nasib kaum Bumiputera.

Mengheret parti dalam masalah peribadi adalah tindakan yang menderhaka dan mengkhianati orang Melayu sendiri, harus diingat UMNO adalah parti milik kaum Melayu dan bukan milik Zahid mahu pun Najib.

Sekali orang Melayu dilukai, selama-lamanya Zahid dan Najib akan dikenang sebagai ‘Bapa Perpecahan Kaum Melayu’.

POPULAR