
Parti MUDA menganjurkan himpunan di ibu kota 14 Ogos 2022.
Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abd Hadi membidas pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lantang bersuara berhubung kapal tempur pesisir (LCS) sebelum ini, kini hanya diam setelah menjadi kerajaan.
Pada sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, (8 Februari 2023) setelah memfailkan permohonan membatalkan pertuduhan kerana menyertai perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir’ yang dihadapinya, Amir Hariri berkata pemimpin PH antara yang palig lantang menyuarakan isu itu.
“MUDA menyuarakan bantahan berterusan terhadap isu ini. Mereka yang terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan dihukum.
“Pemimpin PH antara yang paling lantang ketika himpunan itu, malah ada antara mereka yang sudah menjadi menteri. Mungkin mereka lebih tahu dan akan memainkan peranan dalam isu berkenaan,” katanya menurut BH.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan PH-BN, khususnya Kementerian Pertahanan untuk memberi maklumat lanjut berkaitan perkembangan terhadap proses siasatan projek LCS.
Pada 3 Ogos lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, mendedahkan kontrak projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) secara rundingan terus.
Kerajaan didakwa membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.
Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan.
Berhubung pertuduhan dihadapinya, peguam Amir Hariri, Raj Surian Pillai, berkata pihaknya berpendirian bahawa pertuduhan berkenaan adalah defektif atau cacat.
“Notis itu difailkan dalam sistem mahkamah semalam dan sudah diserahkan kepada pendakwaan hari ini.
“Mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk failkan hujahan bertulis dan kehadiran tidak diperlukan, manakala 27 Mac bagi pendengaran bantahan awal yang memerlukan kehadiran semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.
Pada 26 Ogos lalu, Amir Hariri, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan selaku penganjur gagal mengemukakan notis kepada polis sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan diadakan.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada jam 2 petang, 14 Ogos lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Media melaporkan kumpulan penganjur yang menggelarkan diri mereka Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS? menuntut kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat salah laku yang berlaku.