
Rafizi Ramli mempertahankan jawatan Menteri Kewangan yang dipegang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun sebelum ini menentangnya, malah pernah mengkritik pihak lawan sebelum ini berhubung isu jawatan penting tersebut.
Berbeza selepas mendapat kuasa dan kini berada di Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu nampaknya tidak kisah pula apabila Perdana Menteri (PM) Ke-10 melantik dirinya sendiri menjadi Menteri Kewangan baru-baru ini.
“Tiada parti dapat majoriti untuk bentuk kerajaan, tetapi pada masa yang sama, kita perlu kepimpinan yang kuat untuk ekonomi.
“Kita juga tahu bahawa setiap parti komponen dalam kerajaan perpaduan mahu jawatan menteri kewangan, jadi buat masa ini, masuk akal bagi perdana menteri pegang jawatan itu untuk elak konflik,” kata Rafizi pada sidang media hari ini.
Untuk rekod, Rafizi sebelum ini pada 2015 dalam hantaran Facebooknya memaklumkan sudah memfailkan satu Rang Undang-Undang Persendirian untuk menggubal satu akta yang menghalang seorang PM daripada melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.
PM terakhir menjadi Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Najib Razak.
PM selepas itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memegang portfolio Menteri Kewangan.
Bahkan, tiga PM itu tidak memegang sebarang portfolio menteri kerana jika mereka berbuat demikian, ia tindakan terkebelakang dalam sudut tadbir urus sebuah negara.