
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir memetik semula kenyataan Perdana Menteri ketika ditangkap kerana salah guna kuasa, rasuah dan salah laku seks pada 20 September 1998, di mana Anwar dikatakan mendakwa tuduhan yang dikenakan terhadapnya bersifat politik.
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir menempelak Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menafikan dakwaan kononnya siasatan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, bermotifkan politik.
Beliau memetik semula kenyataan Perdana Menteri ketika ditangkap kerana salah guna kuasa, rasuah dan salah laku seks pada 20 September 1998, di mana Anwar dikatakan mendakwa tuduhan yang dikenakan terhadapnya bersifat politik.
Pada 21 Disember 2022 pula, Anwar dalam pernyataan tuntutan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sekali lagi mendakwa semua pertuduhan jenayah yang dihadapinya sebelum ini adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang.
Tetapi, Roslan Shahir berkata apabila Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu dituduh di mahkamah, Anwar berkata tindakan itu bukan bersifat politik.
“20/9/98 DS Anwar ditangkap kerana salah guna kuasa, rasuah dan salahlaku seks. Kata Anwar tuduhan politik.
“Pagi ni TS Muhyiddin dituduh rasuah. Ohh.. tidak politik kata Anwar,” kata Roslan dalam satu kenyataan.
Dalam tuntutan terhadap Muhammad Sanusi, Anwar dilaporkan Bernama sebagai berkata: Bagi merosakkan reputasi serta imej, saya telah didakwa dengan beberapa kesalahan jenayah rekaan, telah dibicarakan dan didapati bersalah atas semua kesalahan yang didakwa serta dijatuhkan hukuman penjara sebanyak dua kali.
“Sebelum dipecat, saya dengan bersunguh-sungguh dan tanpa henti mengekalkan pendirian tidak bersalah dan menegaskan bahawa semua pertuduhan jenayah terhadap saya adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang.”
Mengenai pendakwaan terhadap Muhyiddin hari ini (Jumaat, 10 Mac 2023), Roslan Shahir melihat tindakan itu bertujuan mengekang suara pembangkang dan menjejaskan reputasi PN sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Sambil menyatakan solidariti PAS Selangor terhadap Ahli Parlimen Pagoh, beliau berpendapat pendakwaan itu dilakukan secara tergesa-gesa sesuai naratif ‘hoi ya hoi’ – irama lagu berkaitan penyamun yang dikumandangkan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi menyindir Barisan Nasional serta UMNO.
“Pendakwaan ini dilihat dilakukan secara tergesa-gesa selari dengan naratif “hoi ya hoi di sebelah sana” yang sentiasa dimainkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2023,” katanya.
Menurut Roslan, PAS Selangor mendukung prinsip kedaulatan undang-undang dan yakin bahawa pihak berwajib berhak menyiasat mengikut peraturan, namun kuasa tersebut mesti dilaksanakan dengan suci hati dan hanya dalam kes tulen, bukannya berpilih-pilih atas agenda dan kepentingan politik.
“PAS dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung budaya politik matang dan sejahtera, dan akan terus membela golongan yang dizalimi tanpa mengira ras dan agama,” katanya.