Dua calon bekas ADUN UMNO boleh menang sebab itu PH ambil: Khalid

Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan mengambil dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sebagai calon kerana mereka boleh menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perkara itu diakui Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang sebelum ini mempertahankan Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan sebagai ‘katak berprinsip’ dan sekali lagi mendakwa kedua-dua calon PH itu memiliki sokongan kuat pengundi di kawasan mereka bertanding.

Idris bertanding atas tiket calon PKR di kerusi Asahan, sementara Nor Azman pula di kerusi Pantai Kundor atas tiket Amanah.

“Di Asahan memang Idris ada sokongan dan kalau dicampur dengan sokongan yang ada ada PH, insya-Allah boleh menang.

“Begitu juga di Pantai Kundor, Nor Azman orang yang dikenali dan dia memang (selalu) turun padang.

“Dia ada sokongan dan campur dengan sokongan PH, ia juga boleh dimenangi. Begitu juga di kerusi-kerusi lain yang ada sokongan kepada Idris dan Nor Azman,” katanya dipetik laporan.

Idris dan Nor Azman serta bersama dua lagi ADUN menjadi punca kejatuhan kerajaan UMNO di Melaka yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tegasnya lagi, parti Amanah juga berpendapat tidak semua orang boleh digelar ‘katak’ kerana didakwa meninggalkan UMNO dan menyertai PH.

Sebaliknya, Khalid berkata kedua-dua bekas ADUN itu dipecat UMNO kerana mempertahankan prinsip dan mengambil pendirian terhadap isu yang berlaku dalam kerajaan negeri.

Hal itu, katanya, perlu dijelaskan kepada orang ramai.

BERITA BERKAIT
POPULAR