Dua bekas ADUN UMNO di Melaka dakwa ditawar sertai PH

Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menjadi punca krisis di Melaka sedang menimbang untuk menyertai parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) selepas terdapat tawaran kepada mereka.

Dua ADUN UMNO yang dipecat itu, Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) bakal membuat pengumuman tersebut dalam masa terdekat apabila tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.

Dua ADUN UMNO itu antara empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali baru-baru sehingga mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Nor Azman berkata, setakat ini beliau dan Idris sudah menerima tawaran daripada beberapa pemimpin PH untuk menyertai parti masing-masing tetapi masih membuat pertimbangan sewajarnya.

“Saya dan Datuk Seri (Idris) akan buat keputusan parti mana yang akan kami sertai pada waktu sesuai sebelum PRN tetapi yang dua orang lagi (ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad), saya tidak tahu,” katanya semasa sidang media bersama Idris di Pantai Puteri, Tanjung Kling hari ini.

Jelasnya, keputusan tersebut penting bagi memastikan kedua-dua mereka bukan setakat menang, malah mampu membentuk kerajaan negeri selepas itu.

Nor Azman enggan mengulas parti atau pemimpin yang menghubungi mereka dan membuat tawaran menyertai gabungan PH itu.

Katanya, beliau akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14, manakala Idris pula akan mempertahankan kerusi Sungai Udang yang sudah dimenanginya selama dua penggal.

BERITA BERKAIT
POPULAR