Dua ADUN DAP sertai Warisan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong dan Sri Tanjong, Justin Wong hari ini mengumumkan keputusan menyertai Parti Warisan (Warisan), setelah keluar daripada DAP Januari lepas.

Tindakan dua ADUN itu menjadikan Warisan kini mempunyai 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan DAP empat kerusi DUN, lapor Bernama.

Secara keseluruhan pembangkang kini mempunyai 26 kerusi daripada 79 kerusi DUN Sabah.

Chong pada sidang media berhubung pengumuman itu berkata beliau menyertai Warisan kerana parti itu dilihat berprinsip serta mampu memperjuangkan hak Sabah, sesuai dengan perjuangan beliau.

Sementara itu Wong berkata sebagai wakil rakyat pembangkang yang dipilih rakyat, beliau melihat tindakannya menyertai sebuah parti pembangkang lain yang memperjuangkan hak Sabah adalah sesuatu yang adil dan bertanggungjawab kepada mereka yang mengundi beliau pada pilihan raya lepas.

Sementara itu Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media sama berkata Warisan sedia mengadakan kerjasama pintar dengan parti tempatan untuk memperjuangkan hak Sabah.

Ditanya mengenai persediaan Warisan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15, beliau berkata parti itu hanya akan bertanding di negeri-negeri tertentu.

BERITA BERKAIT
POPULAR