
Tun Dr Mahathir Mohamad semasa diwawancara dengan Agenda Daily di pejabatnya, Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Kerusi Parlimen Langkawi mungkin akan dipertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Bekas Perdana Menteri itu memberi bayangan bakal bertanding pada PRU-15 sekiranya partinya, Pejuang tidak mempunyai pengganti untuk diletak sebagai calon, ia meskipun sebelum ini beliau berkata tidak mahu bertanding semula.
“Kita ada calon tetapi waktu ini kita tidak beritahu lagi, kalau tak ada (calon sesuai) dan ada orang cadang saya (bertanding), saya akan pertimbangkan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Dr Mahathir semalam mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha feri Langkawi.
Untuk rekod, pada Mac lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang mengesahkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen termasuk Langkawi dalam PRU-15.
Menurut beliau, ia bagi memberi peluang kepada calon yang sesuai dan lebih muda terlibat dalam politik serta pilihan raya, selain faktor kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya ketika itu.