
Zahid Hamidi mengkritik Dr Mahathir sebagai tidak relevan dalam politik negara.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai liabiliti politik dan sudah tidak relevan dalam negara.
Presiden UMNO itu berkata Dr Mahathir sudah pun ditolak rakyat dan ia terbukti selepas kekalahan teruk di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, malah Proklamasi Orang Melayu yang dibawanya tidak membawa sebarang makna.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya atas pertemuan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir. Ucapan ini kerana kita tahu Dr Mahathir adalah liabiliti baharu dalam politik tanah air.
“Ini dijawab dengan kekalahannya di Langkawi dan hilang deposit, malah tiada calon dari partinya yang menang (pada pilihan raya lalu).
“Kalau pertemuan ini (Proklamasi Orang Melayu) kononnya untuk penyatuan dan perpaduan orang Melayu, harus diketahui bahawa walaupun UMNO parti orang Melayu dan Bumiputera yang besar, Kerajaan Perpaduan mempunyai makna yang lebih besar untuk negara kita.
“Kita rasa soal etnik walaupun ia isu akar umbi, namun bangsa negara Malaysia yang besar, Kerajaan Perpaduan dan negara Malaysia Madani yang kita sama-sama dokong harus diberi keutamaan,” katanya dipetik laporan BH.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu susulan pertemuan Dr Mahathir dan Abdul Hadi serta beberapa pemimpin lain berhubung Proklamasi Orang Melayu.
Zahid berkata, apa yang penting sekarang menjaga soal kemajmukan rakyat negara ini dan mengetepikan perbezaan politik serta etnik.
“Cukuplah sepenggal lalu politik kita berkecamuk dan kita dapat tiga kepemimpinan yang berbeza. Lihatlah apa akibat yang berlaku kepada negara kita.
“Kini, kita sama-sama bentuk (Kerajaan Perpaduan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 19 parti dalam empat gabungan utama, jadi ini yang menjadi keutamaan,” katanya lagi.