Dr Mahathir cabar Najib lagi tunjuk bukti dokumen wang sitaan RM114 juta

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dicabar lagi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menunjukkan rekod dokumen sebagai bukti wang RM114 juta adalah derma dari Arab Saudi sekiranya ia bukan datang daripada punca haram.

Dr Mahathir menyifatkan wang sebanyak itu tidak logik dimiliki oleh seorang Perdana Menteri walaupun menyimpan dengan gajinya sendiri dan semestinya ia datang daripada punca lain yang perlu dibuktikan oleh Najib dengan dokumen sahih bukannya hanya dengan memberi alasan retorik semata-mata.

“Mahkamah berkata kerajaan gagal menunjuk bahawa duit RM114 juta ini adalah daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad), gagal menunjuk… Tapi kita nak tanya, duit itu datang daripada mana? Bolehkah perdana menteri mempunyai duit sebanyak itu, perdana menteri dengan gajinya tak cukup.

“Tentu dia telah dapat duit itu daripada punca lain, punca mana, tunjuklah, supaya mahkamah boleh terima ya kami dapat ini derma daripada pihak Saudi, tunjuk secara jelas,” kata Dr Mahathir semasa wawancara bersama Agenda Daily.

Beliau berkata wang sebanyak itu pasti mempunyai jejaknya dalam bentuk dokumen atau cek kerana ia tidak boleh bergerak tanpa dikesan dan Najib perlu membuktikan bank yang mengeluarkan wang sebanyak itu untuk disimpannya.

“Kerana duit sebegitu banyak tak boleh bergerak tanpa dokumen, kena tulis cek, kena tulis rekod, semua itu… Najib mesti tunjuk bank mana yang bagi duit itu.

“Bank itu mesti mengaku kata dia simpan duit itu, cek itu datang daripada bank dia, semua ini bukti daripada mana duit itu datang,” katanya lagi.

Walaupun pihak pendakwaan gagal menunjukkan wang tersebut adalah daripada 1MDB, persoalan yang timbul sekarang ini adalah punca wang tersebut yang tidak dijelaskan dan wang tersebut tidak boleh dibelanjakan oleh UMNO kerana ia masih dianggap haram selagi tiada bukti yang mengatakan sebaliknya, kata Dr Mahathir lagi.

“Kalau duit itu datang daripada punca yang haram, dia haram jugalah.

“Takkan bermakna bahawa duit itu bukan daripada 1MDB oleh itu UMNO boleh belanja… Tak boleh, kita tak boleh belanja pasal duit itu masih lagi disoal punca mana,” katanya.

Sekiranya mahkamah melepaskan Najib daripada pertuduhan berkait wang RM114 juta tersebut, ia akan memberi tanggapan Najib boleh buat apa sahaja dan terlepas daripada hukuman sewenang=wenangnya.

“Jadi kalau kita kata, tak apa lah Najib boleh buat apa sahaja, ini bermakna bahawa kita rela pencurian penipuan dan sebagainya.

“Apakah mahkamah kita rela pencurian dilakukan, ataupun sogokan dilakukan,” katanya lagi.

Khamis lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Bagaimanapun, status wang berjumlah RM114,164,393.44 tidak diputuskan selepas tiada sebarang perintah dikeluarkan mahkamah sama ada ia akan dikembalikan kepada pemilik atau disimpan kerajaan.

Najib baru-baru ini menjelaskan wang itu dipindah dari peti-peti besi amat besar di Pejabat Perdana Menteri pada malam Barisan Nasional kalah Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Tun bukan tak tahu. Sebab Tun yang bina peti-peti besi ini untuk tujuan yang sama. Jadi Tun, kenapa kamu bina peti-peti besi itu? Untuk simpan apa, ya? Wang itu adalah sumbangan untuk PRU14 parti BN,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Penjelasan Najib tersebut bercanggah dengan kenyataan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berkata akan menghantar surat kepada Peguam Negara (AGC) untuk menuntut wang tersebut dan akan dibahagikan antara anak guamnya itu dengan UMNO selepas dikembalikan nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR