Dr M tak mahu ikut jejak Kit Siang bersara daripada politik

Tiada keputusan muktamad diputuskan lagi Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti dan tidak akan mengikut jejak veteran DAP, Lim Kit Siang yang mengumumkan persaraannya daripada kancah politik tanahair.

Pengerusi parti Pejuang itu berkata terdapat kemungkinan besar tidak akan bertanding pada PRU-15, bagaimanapun beliau tidak dapat membuat keputusan muktamad memandangkan parti sebaliknya mahu bekas Perdana Menteri itu kekal bertanding lagi nanti.

Itu keputusan beliau (Kit Siang), saya tidak akan tinggalkan Pejuang, saya masih bersama Pejuang

“Mungkin saya tidak bertanding, mungkin… tapi saya masih tidak boleh buat keputusan sekarang kerana saya perlu patuh dengan keputusan parti saya bukan hanya diri saya, saya perlu patuh kepada parti dengan apa patut saya buat.

“Jadi, itu yang dilakukan kemudiaan… saya akan buat keputusan kemudiaan,” katanya semasa sidang media pagi selepas ditanya kesediannya mengikut jejak veteran DAP, Lim Kit Siang yang bersara daripada politik.

Untuk rekod, terdapat kebimbangan berhubung keadaan kesihatan Dr Mahathir yang baru-baru ini menjalani rawatan jantung yang agak serius.

Dr Mahathir dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) susulan keadaan kesihatannya yang semakin merosot tetapi berjaya dipulihkan semula, malah beliau sendiri mengakui agak bimbang semasa dirawat ketika itu.

Mengulas lanjut berhubung pretasi buruk Pejuang semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, Dr Mahathir memberi alasan partinya tidak mendapat sokongan kerana peratusan pengundi yang keluar rendah dan juga orang ramai takut dikenakan tindakan jika menyokong parti baharu ditubuhkan itu.

“Kami ada 5,000 lebih ahli Pejuang di Johor, tapi kami dapat 18,000 lebih undi… jadi ramai orang yang bukan ahli Pejuang tapi sokong Pejuang, yang lain tidak sokong Pejuang kerana mereka tidak keluar itu sebab jumlah peratusan pengundi hanya 53 peratus.

“Terdapat 46-47 peratus lagi yang tidak keluar (mengundi), segelintir mereka yang tidak keluar ini kerana takut jika menyokong Pejuang akan terdapat tindakan diambil terhadap mereka,” katanya lagi.

Pejuang antara salah satu parti baharu yang masuk bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya, bagaimanapun keputusan yang diharapkan tidak menyebelahi mereka malah semua calon yang diletak kalah wang deposit dan gagal memenangi sebarang kerusi.

Mengenai pertemuan dengan bekas PM Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, Dr Mahathir berkata belum ada sebarang keputusan dibuat partinya untuk menjalinkan kerjasama dengan bekas rakan satu partinya itu.

“Kita belum buat apa-apa keputusan,” katanya selepas ditanya berhubung cadangan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

BERITA BERKAIT
POPULAR