
Dr Mahathir membidas kerajaan campuran dipimpin Anwar.
Kesediaan untuk bekerjasama semula dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir kalah semasa bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan mengumumkan keluar parti Pejuang yang diterajui anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini.
Negarawan itu membayangkan boleh kembali duduk semeja selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dr Mahathir berkata, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.
Katanya, orang Melayu yang berpecah mengikut perjuangan parti politik berbeza mengakibatkan kaum majoriti ini semakin lemah dan sukar untuk memperbetulkan keadaan.
“Kita nak adakan kerjasama, tetapi matlamat mesti ditentukan,” katanya dipetik dalam wawancara dengan MalaysiaNow.
“Kita berpecah jadi banyak-banyak parti, kita hilang kuasa.
“Bila hilang kuasa, kita tidak boleh betulkan keadaan yang merugikan orang Melayu. Sebab itu kita perlu bersatu.”
Pada 2016, Bersatu ditubuhkan selepas Muhyiddin dan beberapa pemimpin UMNO dipecat daripada parti itu selepas secara terbuka mengkritik isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Penubuhan Bersatu dilakukan bersama Dr Mahathir yang dilantik sebagai pengerusi sebelum parti itu menyertai gabungan politik PH yang akhirnya berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada 2018.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, sukar untuk dirinya bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mempunyai perjuangan yang berbeza.
Menurut Dr Mahathir yang juga bekas ahli Parlimen Langkawi, Anwar dilihat sebagai individu yang tidak begitu serius dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.
“Bahkan berkenaan dengan agama pun, nampak pandangan dia bukan pandangan yang diterima orang Melayu.
“Sebab itu saya tidak boleh kerjasama dengan dia.
“Saya sedia bekerjasama dengan orang yang faham dengan orang yang faham dengan masalah besar dihadapi orang Melayu,” tegas beliau.