Dokumen PASleak tak sama format minit parti, jelas palsu: Sanusi

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi mendakwa dokumen PASleak yang tular baru-baru ini adalah jelas palsu, ia memandangkan format minit mesyuarat tersebut tidak sama dengan yang ditetapkan parti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu sebaliknya berkata penularan dokumen PASleak itu didalangi oleh tentera siber upahan parti tertentu yang mahu mencetuskan kekecohan dengan tujuan melemahkan parti Islam tersebut.

“Saya ada dalam parti ini dah lama dan minit mesyuarat Pas tak tulis macam itu, kami ada format tersendiri termasuk dari segi ejaan, urutan serta semua yang lain dan ia bukan begitu.

“Yang tulis tu orang bodoh saja, tulis benda macam itu lepas tu bagi orang baca,” katanya dipetik laporan media.

Katanya, selaku orang lama dalam kepimpinan parti terbabit, beliau tidak pernah mengetahui mengenai perancangan seperti dinyatakan dalam dokumen tersebut.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menyifatkan dokumen tersebut sebagai ‘sampah’.

Pendedahan dokumen PASleak didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO yang tular di media sosial sebelum ini.

Ia adalah beberapa keratan didakwa minit mesyuarat yang menggariskan pelan untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional termasuk rancangan menyegerakan usaha untuk memasukkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke penjara.

BERITA BERKAIT
POPULAR