
Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dalam Bersatu berkuatkuasa serta-merta selepas Perikatan Nasional (PN) didakwa menawarkan kerusi Parlimen Bagan Datuk kepadanya untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.
Rafiq yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu dan Naib Presiden parti itu memberitahu ada menerima tawaran untuk bertanding di kerusi alternatif lain selain di Parlimen Tangga Batu antaranya di Bagan Datuk untuk berdepan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Nama saya tidak akan dicalonkan di Parlimen Tangga Batu sebaliknya saya ditawarkan bertanding di beberapa kerusi alternatif lain termasuk di Bagan Datuk yang bakal ditandingi oleh Presiden UMNO.
“Saya berasa sedih apabila segala usaha dan khidmat bakti saya di Parlimen Tangga Batu selama enam tahun tidak diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya,” katanya semasa sidang media mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam parti.
Rafiq enggan mengulas sama ada langkah meletaknya bertanding di Bagan Datuk sebagai usaha untuk membunuh karier politiknya.
“Saya tak nak ulas persepsi itu biarlah dia rakyat menilai.
“Sebagai pemimpin muda saya telah bersungguh-sungguh menunjukkan khidmat bakti saya di Parlimen Batu tetapi tidak semena-mena saya ditawarkan pula untuk bertanding seperti kerusi Bagan Datuk, tempat Presiden UMNO,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Rafiq berkata tidak berhasrat untuk bertanding atas tiket mana-mana parti pada PRU-15 kali ini dan memberi penghormatan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudi memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat.
“Sepertimana saya kata tadi saya tak berminat untuk cerita tentang politik ketika ini saya akan berehat seketika bersama keluarga dan kalau ada platform yang kita akan fikirkan adalah platform NGO selepas ini,” ujarnya lagi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, Rafiq yang ketika itu Pengerusi PN negeri tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dalam persaingan empat penjuru bersama BN dan Pakatan Harapan (PH).
BN berjaya merampas kerusi berkenaan daripada Bersatu dengan majoriti 2,076 undian sekali gus menyaksikan Mohd Rafiq melepaskan jawatan Pengerusi PN negeri dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri.