
Presiden UMNO, Zahid Hamidi yakin dapat menang pada PRN enam negeri nanti.
Walaupun dikritik selepas mengumumkan peruntukan pemberian peruntukan di Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakannya tersebut.
Presiden UMNO itu berkata beliau mempunyai garis panduan sendiri dan menyifatkan pengumuman tersebut tidak melanggar undang-undang pilihan raya walaupun dibuat ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
“Saya mempunyai garis panduan sendiri dan ia berdasarkan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya. Jangan menggunakan perkara yang demikian untuk kata kononnya ini rasuah tetapi memberi wang dengan baiah, angkat sumpah mesti undi parti itu, tidak pula rasuah jadi jangan dwistandard dalam perkara ini,” katanya menurut laporan Bernama.
Zahid semalam mengadakan program di Seremban.
Jumaat lalu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan peruntukan lebih setengah juta ringgit membabitkan Persatuan Belia Gabungan KETENGAH berjumlah RM100,000; selain RM250,000 untuk Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di Terengganu.
Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, menyeru golongan muda yang hadir mengundi “gelombang biru dan merah” pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini, sambil menambah jumlah yang diperuntukkan mungkin ditambah bergantung kepada keputusan pilihan raya pada 12 Ogos.
Pengumuman itu menyebabkan ramai pihak mempertikaikan langkah terbabit dengan sesetengah pihak menyifatkan peruntukan itu sebagai “rasuah” kepada pengundi di Terengganu.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan panduan khas bagi pemberian bantuan semasa pilihan raya oleh ahli politik.
Ia sebagai respons kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang dilaporkan berkata tiada unsur rasuah dalam ucapan Ahmad Zahid di Terengganu pada Jumaat lepas.