
Kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang masih dalam pembinaan di limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd di Lumut, Perak.
Susulan kritikan berhubung penolakan usul tergempar melibatkan skandal pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS), Tan Sri Johari Abdul dengan segera menjawab kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Speaker Dewan Rakyat itu dibidas kerana tidak membenarkan usul LCS dibahas di Dewan Rakyat walaupun sebelum ini Pakatan Harapan (PH) yang kerap memainkan isu skandal tersebut dalam kempen politik mereka.
Johari berkata usul membahaskan projek LCS akan dibenarkan selepas menerima laporan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Mengikut Muar, saya tolak usul itu kerana mengandaikan saya menganggap ini bukan kepentingan orang ramai dan keperluan mendesak.
“Muar tidak berlaku adil, yang mana ada di perenggan keempat yang menyebut dengan jelas bahawa usul berkenaan tidak memenuhi Peraturan 18.
“Ia berikutan saya dimaklumkan Kementerian Pertahanan dikehendaki membentangkan laporan kemajuan projek kapal LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek itu disiapkan.
“Saya nak Muar (Syed Saddiq) perbetulkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, PAC sudah membuat keputusan melawat Lumut dan membuat siasatan lanjut.
“Maknanya bila PAC dah buat keputusan, kita nak bincang buat apa lagi? Tunggulah sampai laporan PAC.
“Selepas itu kita akan bincangkan dan saya akan benarkan selepas laporan dibuat oleh PAC,” katanya.
Beliau mengingatkan semua ahli Parlimen supaya tidak ‘menyerang’ Speaker dan Timbalan Speaker yang hanya melaksanakan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat.
Terdahulu, Syed Saddiq mempertikaikan usul itu ditolak atas alasan isu LCS sedang disiasat PAC, sedangkan banyak isu dalam prosiding PAC pernah dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum ini.