
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menggesa bekas Menteri Besar Selangor Mohamad Khir Toyo melupakan hasrat bertanding di Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo digesa melupakan hasrat mewakili Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata Mohamad Khir tidak perlu membuat ‘come back’ sebaliknya ‘go back’ sahaja jika berhasrat bertanding pada PRU akan datang.
Menurutnya kumpulan penyokong bekas Menteri Besar Selangor itu disaran supaya lebih memfokuskan persediaan jentera pilihan raya UMNO.
“Soal kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih penting berbanding mencari strategi meletakkan Mohamad Khir sebagai calon BN di Parlimen Sungai Besar.
“Kepimpinan UMNO bahagian ketika ini tidak memikirkan soal calon namun mahu memastikan gerak kerja parti berjalan lancar bagi menghadapi dan memenangi pilihan raya nanti.
“Beliau (Mohamad Khir) tak payah ‘come back’ (kembali), tetapi terus ‘go back‘ (pergi) sahaja,” katanya menurut laporan Utusan hari ini.
Pada 29 Mei lalu, Mohamad Khir mengesahkan hasrat bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar dan bercita-cita mahu mengembalikan semula kerusi tersebut kepada UMNO/BN.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu memaklumkan bahawa beliau yakin dengan penerimaan dan sokongan kuat masyarakat tempatan terhadapnya.
Mengulas lanjut, Jamal sebagai ahli parti menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi bagi menentukan calon untuk bertanding kelak.
Tegas beliau, semua ahli UMNO sama ada berjawatan atau tidak tidak sesekali cuba memecahbelahkan perpaduan antara ahli bagi menghadapi PRU-15.