
Anwar sebelum ini mendakwa Perikatan Nasional menerima dana judi semasa PRU-15 lalu.
Dewan Rakyat diberitahu hari ini tiada sebarang bukti ditemui bagi mengaitkan dana judi yang diterima Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang maklumat atau bukti berhubung dana judi seperti yang pernah didakwa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang ingin mengetahui status siasatan terhadap dakwaan parti-parti di dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi ketika kempen PRU yang lepas.
Pada Dis tahun lalu, beberapa media melaporkan Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.
Anwar berkata Kementerian Kewangan juga mendapati “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.
Dalam laporan itu, Anwar dipetik sebagai berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.
Dalam satu lagi jawapan bertulis Azalina berkata, siasatan SPRM juga mendapati tiada unsur penerimaan rasuah terhadap parti-parti yang mendapat dana ketika PRU-15.
“Siasatan kes telah pun selesai dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur-unsur penerimaan rasuah.
“Walau bagaimanapun, jika terdapat mana-mana orang yang mempunyai bukti baharu berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak SPRM dan siasatan dan tindakan lanjut sewajarnya akan dijalankan dengan kadar segera mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa ketika ini,” katanya.
Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai status siasatan SPRM terhadap parti-parti kerajaan berhubung perbelanjaan ketika PRU-15 termasuk sumber dana.