
Sidang Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu diluluskan selepas undi belah bahagian dijalankan, ia mendapat sokongan majoriti dua pertiga daripada Ahli Parlimen dengan 209 undi menyokong, sementara 11 tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
“Ahli-ahli yang berhormat inilah keputusannya, syabas kepada semua ahli-ahli yang berhormat yang mencatatkan sejarah hari ini.
“Undi yang bersetuju 209, sementara 11 tidak hadir… maka lebih dua pertiga undi majoriti yang bersetuju rang undang-undang ini dibacakan buat kali yang kedua sekarang,” kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Untuk rekod, sokongan Ahli Parlimen kepada pindaan rang undang-undang ini amat penting memandangkan keperluan Fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada Fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan tidak kurang dari dua pertiga atau 148 (jumlah minimum) daripada jumlah Ahli Majlis Parlimen.
Keputusan hari ini berjaya mendapat sokongan dua pertiga majoriti daripada MP yang menyokong RUU tersebut.
Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan sebelum RUU larangan bertukar parti dibentang semalam dan sudah mengadakan tujuh siri mesyuarat dan perbincangan bermula 15 April hingga 12 Julai lepas, serta turut menerima pandangan bertulis daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, ahli akademik dan parti politik.
Selain pembentangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu, usul Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti turut dibentangkan untuk dibahaskan bersekali dengan rang undang-undang itu.
Bacaan ketiga juga berjaya mendapat sokongan sama selepas undi belah bahagi diadakan.