Desak PRU: Tajuddin tegur kenyataan Tok Mat Hasan dalam Dewan Rakyat

Bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini membidas kenyataan Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendesak Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera.

Apa yang menarik ialah kenyataan Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu dibuatnya ketika sesi perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod Mohamad atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat Hasan’ bukan Ahli Parlimen sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Negeri Sembilan.

Dalam perbahasan itu, Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO melahirkan kekesalan kerana Mohamad dilihatnya seolah-olah memberi kata dua berhubung PRU itu.

Memetik laporan sebuah portal, Tajuddin dilaporkan kesal dengan kenyataan Mohamad yang dilihat menekan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Beliau (Mohamad) dilapor mendesak Perdana Menteri untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong supaya PRU diadakan secepat mungkin.

“Dan beliau juga memberi kata dua sekiranya Perdana Menteri gagal meyakinkan Agong maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan.
Apa punya statement? Ini kenyataan seolah menekan Perdana Menteri.

“Saya berasa kesal kerana ia datang daripada salah seorang pimpinan besar parti saya sendiri,” katanya ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Tajuddin berkata beliau perlu membangkitkan hal ini walaupun hanya ‘orang kecil’ dalam parti kerana kenyataan Mohamad itu boleh menjejaskan dan menggugat kestabilan kerajaan.

Sedangkan katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri perlu fokus untuk kerja-kerja melibatkan kepentingan rakyat.

“Kalau kita tekan Perdana Menteri, macam manalah kerajaan nak berusaha bawa pelbagai inisiatif membantu rakyat. Jadi kita perlu hentikan.

“Maaflah saya orang kecil dalam parti terpaksa bersuara dalam dewan ini,” tegas Tajuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.

BERITA BERKAIT
POPULAR