Desak PRU-15 segera, Nazri bidas ‘pakailah otak sikit’

Seorang veteran UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz tidak sependapat dengan desakan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disegerakan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata tindakan terburu-buru mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen sebagai tidak wajar dan menggesa semua pihak yang membuat desakan tersebut supaya ‘pakai otak’.

“Kalau kita sekarang ni nampak sebagai parti, ada peluang nak menang besar, siapa yang nak kita dahulukan? Kepentingan parti ke atau kepentingan rakyat?

“Rakyat masih belum sedia lagi… pandemik. Pakailah otak sikit.

“Jangan hanya cogan kata sekadar cogan kata sahaja. Tapi apabila (bab) tindakan, sebenarnya kita oportunis. Kononnya kita menang di Melaka, di Johor, maka kita rasa ini peluang untuk kita menang, maknanya kita oportunistik.

“Makna parti ini hanya memikirkan parti saja, tidak memikirkan rakyat. Tanyalah rakyat dulu. Rakyat susah yob,” katanya semasa ditanya selepas perasmian PAU di PWTC hari ini.

Menurut Nazri lagi, gesaan itu tidak kena pada tempatnya memandangkan PM ketika ini adalah daripada UMNO, malah kerajaan memerlukan masa untuk melaksanakan dasar-dasar yang sedang dirancang.

“Kalau (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri, mungkin kita boleh desak. Ini orang kita (Naib Presiden, Ismail Sabri).

“[…] Saya duduk dalam jemaah menteri ini sejak (zaman) Tun Dr Mahathir Mohamad lagi. Tak pernah saya hadir dalam mesyuarat perwakilan, desakan daripada perwakilan untuk nak bubar parlimen. Tak pernah.

“Mungkin ini berlaku kerana pucuk pimpinan kita tak ada pengalaman, tak tahu. Setahu saya, tak pernah,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya menyentuh mengenai keperluan mengadakan PRU-15 dengan segera tetapi berkata perkara itu diserah kepada Ismail Sabri untuk memutuskannya.

Dalam Ucapan Dasar Presiden pada PAU pagi ini, Zahid berkata parti bertanggungjawab dan mempunyai kuasa untuk menentukan arah tuju sendiri.

“Apabila mood di bawah. Dalam PRK (Pilihan Raya Kecil), dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) ke arah pada kita. Nak tunggu apa lagi? (bubar Parlimen),” tegas Zahid.

Semasa persidangan sayap yang berlangsung semalam juga, para perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO juga menimbulkan desakan supaya PRU-15 disegerakan.

BERITA BERKAIT
POPULAR