Desak PRU-15 diadakan segera tapi Pemuda UMNO mahu pemilihan parti ditangguh

Pemilihan parti UMNO perlu ditangguh dan hanya dijalankan selepas selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Pemuda UMNO hari ini.

Ironinya, Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberi alasan supaya pemilihan tersebut ditangguhkan adalah bagi mengelak perpecahan dalam parti tersebut tetapi tidak pula memikirkan kesan kepada rakyat sekiranya PRU-15 diadakan dengan segera semasa rakyat sedang berdepan penularan Covid-19 dan kesempitan hidup ketika ini.

“Pilihan raya (pemilihan UMNO) akan datang lebih besar geloranya, lebih besar cabarannya, bukan sahaja dengan fitnah lama tetapi juga tohmahan baharu dari dalam dan luar bahtera.

“Semuanya bagi memecah-belahkan kita, melumpuhkan jentera kita dan akhirnya mengaut laba daripada kelemahan kita,” katanya semasa ucapan dasar Pemuda UMNO 2021 di PWTC pagi ini.

Jelasnya, sekiranya pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15 ia bakal menjejaskan persediaan sayap parti memandangkan akan berlaku banyak pertukaran dalaman.

“Jika ada pemilihan sebelum pilihan raya, berapa ramai pimpinan Pemuda di hadapan saya ini yang akan bertukar ganti? Bukan kerana ditolak, tetapi kerana batasan umur yang tidak mengizinkan lagi.

“Dengan masa yang pendek, apakah kita mampu membentuk semula barisan baharu berpengalaman dan kuat untuk menghadapi peperangan?

“Usah hanyut dalam gelora pemilihan parti. Mula kembali budaya bobrok lama membawa rombongan ke sana sini, menyusun jentera, membuat pelbagai gerakan untuk mencatur dan menjatuhkan sesama sendiri.

“Ingatlah, jika bahtera kita karam buat kali kedua, jawatan parti pun sudah tidak bernilai lagi,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, apabila mandat diberi rakyat dalam pilihan raya dikhianati, pilihan yang ada ialah memulangkan mandat kepada rakyat bagi membuat pilihan.

Katanya, hak rakyat untuk menentukan kestabilan tidak boleh dinafikan dan tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Sarawak, Melaka dan Johor dilaksanakan dengan selamat tanpa masalah serta dan penuh ketertiban.

“Ini sejajar dengan peralihan negara ke arah fasa endemik,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR