
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau harga barang di kawasan perniagaan Little India, Rawang, semalam (26 Jun). - Gambar FB Anwar Ibrahim
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas segelintir pemimpin UMNO yang mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera semata-mata untuk melepaskan diri masing-masing daripada kes mahkamah yang mereka hadapi.
“Sebab apa parlimen nak bubar? Sebab kluster mahkamah nak settle (selesaikan) kes dia.
“Ingat kalau dia menang PRU, dia boleh tutup kes.
“Jadi, rasional bubar (Parlimen) itu kita pertikaikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli PKR di Rawang, Selangor sebagaimana dilapor Mkini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan dan tekanan bertalu-talu UMNO kepada kerajaan pimpinan naib presiden parti itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mempercepatkan PRU-15.
Antara pemimpin tertinggi UMNO yang kini berdepan pertuduhan jenayah, termasuk rasuah dan pengubahan wang haram berjuta-juta ringgit ialah anak murid Anwar sendiri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zahid membela diri terhadap semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi (YAB). Berita berkaitan
Di Mahkamah Tinggi Shah Alam pula, Presiden UMNO itu berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung sistem visa asing (VLN) kerajaan.
Zahid, 68 tahun, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, melanjutkan kontrak UKSB sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Dia didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.
Bagi tujuh pertuduhan lagi, Presiden UMNO itu didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 (pindaan 5,000 Swiss Franc) dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara bekas Perdana Menteri UMNO Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 28 Julai 2020, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.
Najib kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung hukuman itu.
Sementara itu, berucap pada ceramah Jelajah Harapan Selangor, di Morib malam tadi, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kecewa terhadap sikap segelintir masyarakat yang tidak faham erti maruah, akhlak dan nilai mulia sehingga masih lagi mendewa-dewakan tokoh politik yang telah didapati bersalah oleh mahkamah.
Sikap seperti itu, katanya, hanya menyebabkan perjuangan menyelamatkan rakyat tertindas berundur ke belakang dan membiarkan kebobrokan kembali berkuasa.
“Kita mesti manfatkan waktu yang ada menanam semangat perubahan ini, bukan menjadi pengampu dan penjilat. Maksud pengampu ialah apa yang dibuat, ada orang yang nyata salah guna berbilion ringgit masih disanjung.
“Apa maruah kita? Apa akhlak kita? Apa nilai hidup kita? Di mana maruah kita membela orang yang telah merompak berbilion ringgit. Keluar di mahkamah Malaysia, ada harta di New York, harta di London masih orang kita belum bangkit membantah,” katanya.