Desak menteri berundur, lain pula kata Ketua Penerangan UMNO

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berharap menteri UMNO dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) menimbang kepentingan rakyat sebelum meletak jawatan.

Dengan nada berbeza daripada beberapa pemimpin kanan UMNO yang lain, beliau berkata:

“Adakah menarik diri sekarang satu langkah yang bijak? Itu mesti dibincang. Mungkin kita berasakan bahawa ia adalah yang terbaik untuk UMNO, tetapi ia akan memberi kesan kepada rakyat.

“Oleh itu UMNO juga mesti mempertimbangkannya dan saya yakin ia akan dipertimbangkan.”

Beliau ditemui pemberita selepas menjadi panelis dalam forum demokrasi anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) di Kuala Lumpur, hari ini.

Isu meminta menteri Kabinet daripada UMNO meletak jawatan disaran Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, selepas parti itu bersetuju memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Ia disusuli dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mencabar menteri daripada UMNO untuk meletak jawatan serta-merta daripada Kabinet yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, cabaran Zahid kemudian disahut beberapa menteriĀ  yang mendesak pemilihan parti UMNO diadakan segera.

POPULAR