
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, cikgu dan anak murid.
Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO diyakini akan dapat kekal sehingga habis penggal selama lima tahun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri kini yang mendapat sokongan padu khususnya daripada UMNO yang diterajui anak murid, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi tidak bimbang dengan jangkaan dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kemungkinan kerajaan campuran tidak dapat kekal lama.
“Apa saja yang dikata oleh Presiden PAS saya yakin gabungan ini akan bertahan hingga habis penggal.
“Ia (kenyataan itu) tidak lebih hanya retorik politik,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Anwar terdahulu menghadiri ucaptama Sesi Interaksi Perdana Menteri bersama Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia secara maya sempena Sesi Pemukiman Wisma Putra hari ini.
Terdahulu, Hadi memberitahu wartawan di Parlimen, pembangkang berusaha menjatuhkan kerajaan dan mereka mempunyai hak berbuat demikian.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Marang itu turut meramalkan pentadbiran Anwar akan tumbang “dalam masa terdekat” dan “atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah”.
Kerajaan campuran dianggotai PH, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah serta mendapat sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia dan bebas.