Dengan PN, Anwar tak boleh runding tapi dengan Zahid boleh pula?

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi alasan Bersatu bukan parti pembangkang yang perlu dibuka pintu rundingan, tetapi Ketua Pembangkang itu boleh pula berunding dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Cadangan pemimpin akar umbi Pakatan Harapan (PH) di Johor khususnya dari Parti Amanah agar pintu rundingan dibuka nampaknya ditolak dengan tergesa-gesa Presiden PKR itu, malah alasannya sama sekali tidak mencerminkan kecerdikan Anwar untuk menyekat kemaraan parti diterajui anak muridnya itu.

Jika Anwar memberi alasan Bersatu bukan parti pembangkang dan tidak boleh dirunding, mengapa pula sebelum ini semasa kemelut politik tahun lalu beliau boleh pula berunding dengan Zahid dalam merancang strategi menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mungkin Anwar nampaknya lebih sayang kepada anak muridnya dan rela membela kumpulan ‘kluster mahkamah’ bagi membebaskan mereka, jadi apa bezanya Anwar dengan UMNO yang selama ini menjadi musuh utamanya.

Jika dulu berbuih mulut Anwar bercakap mengenai soal integriti dan memerangi rasuah, kini beliau pula seakan mempertahankan individu-individu terpalit dengan puluhan pertuduhan di mahkamah.

Lihat dalam isu Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang menjadi keluhan pengguna jalan raya, malah didedahkan sebelum ini ada kaitan projek tersebut dengan menantu anak muridnya, tetapi Anwar berdiam diri.

Dalam isu pelaksanaan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB), Anwar sebelum ini juga lantang membangkitkan isu tersebut tetapi mutakhir ini suaranya semakin tidak kedengaran, mungkin beliau sudah mendapat tahu siapa rakan-rakannya dalam UMNO yang memperoleh manfaat dalam tender tersebut.

Isu-isu berhubung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga tidak lagi kedengaran disuarakan oleh Anwar, sekurang-kurangnya berilah idea dan strategi kewangan yang terbaik untuk mengurangkan hutang yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan ketika ini.

Mungkin Anwar terhutang budi kepada dua tokoh UMNO yang sebelum ini menghantar surat ke Istana Negara menyatakan sokongan kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri (PM).

Adakah Anwar ingat semua fakta sejarah itu akan dilupai orang ramai dan beliau cuba memesongkan fakta dengan hujah yang tidak masuk akal.

DAP dan Amanah bukan tidak sedar dengan tindak-tanduk Anwar dan pendirian PKR yang dilihat sudah tidak seperti sebelum ini, hampir semua keputusan dalam Pakatan Harapan (PH) cuba dimonopoli Anwar dan keputusan konsensus yang sebelum ini menjadi pegangan gabungan itu nampaknya juga sudah tidak dihormati lagi.

Ia bukan kali pertama Anwar melanggar keputusan konsensus dalam PH, malah sikap sama ditunjukkan beliau sebelum ini semasa melancarkan serangan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tawaran persefahaman yang ditawarkan Muhyiddin ditolak Anwar bulat semasa krisis politik tercetus, beberapa pemimpin kanan DAP cuba menasihatinya agar menerima tawaran tersebut tetapi kerana terlalu yakin dengan janji anak muridnya ia ditolak mentah-mentah.

Lebih memalukan apabila Anwar juga yang terhegeh-hegeh mengheret Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya sebaik mengangkat sumpah dan menerim tawaran yang sama ditawarkan Muhyiddin.

Penyokong PH nyata kecewa dengan Anwar dan blok pembangkang tersebut yang dilihat hilang maruah dan kehormatan diri apabila sanggup berpeluk dengan UMNO yang diketahui adalah musuh tradisi mereka.

Rakyat tidak melupakan pengkhianatan PH terhadap mereka, bekerjasama dengan UMNO adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima penyokong pembangkang. Namun, Anwar tidak mengendahkannya kerana sudah terpukau dengan laba dan keistimewaan yang bakal diberikan kepadanya.

Lihat yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak, penyokong PH menghukum dan memberikan kekalahan yang paling memalukan kepada mereka.

Jumlah peratusan yang rendah adalah manifestasi pengundi yang sudah muak dengan percaturan politik Anwar dan PH yang bodoh sehingga menyebabkan UMNO kembali kuat.

Dalam keadaan UMNO masih tidak menghiraukan dan mementingkan nyawa rakyat sekalipun ketika ini, Anwar dan PH nampaknya masih selesa untuk menyokong kerajaan diterajui Ismail Sabri atas alasan menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani mereka tahun lalu.

PRN Melaka dan Johor yang diadakan bukan cerminan MoU tersebut dipatuhi tetapi sebaliknya UMNO dengan sewenang-wenangnya melanggar demi kelangsungan segelintir pemimpin kluster mahkamah mereka.

Jelas, keputusan yang bakal diperoleh PH dalam PRN Johor adalah ulangan episod yang sama berlaku di Melaka dan Sabah. Namun, Anwar dan pengikut fanatiknya masih tidak boleh menerima hakikat boss mereka itu bukan pilihan rakyat sebaliknya boss mereka itu adalah pilihan yang salah dan sama sekali tidak akan membawa kemenangan.

BERITA BERKAIT
POPULAR