
Secara amnya format Debat Perdana ini akan merangkumi tiga bahagian iaitu isu Sapura Energy, masa depan negara dan soal jawab.
Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini dipilih sebagai lokasi Debat Perdana antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada 12 Mei ini, pukul 9 malam.
Pejabat Anwar dan Pejabat Najib dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan kedua-dua pihak berkenaan bersetuju memilih lokasi tersebut menerusi perbincangan antara mereka, lapor Bernama.
Menurut kenyataan itu debat tersebut bakal disiarkan secara langsung oleh media rasmi melalui saluran televisyen dan media sosial yang akan diumum kemudian.
“Kedua-dua pihak turut berharap Debat Perdana ini akan berlangsung dengan sempurna minggu hadapan,” menurut kenyataan itu.
Semalam, media melaporkan pada awalnya program tersebut akan diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini pada tarikh dan masa yang sama, namun pihak universiti tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada 17 April lepas dilaporkan berkata format debat perdana yang dijangka berlangsung selama dua jam itu merangkumi tiga bahagian iaitu bahagian pertama berhubung permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas Sapura Energy Bhd, sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak.
Bahagian kedua pula akan berkisar tentang ‘Masa Depan Malaysia’ yang merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara dan bahagian ketiga dikhususkan untuk sesi soal jawab.