Datuk Seri lah sesumpah bertukar warna jadi murid setia ‘cikgu’, bidas Ketua Pemuda PAS

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan seorang ‘Datuk Seri’ sebagai sesumpah yang begitu pantas bertukar warna kulit ketika menjadi murid kepada seorang individu bergelar ‘cikgu’.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu mempersoalkan apakah ‘Datuk Seri’ berkenaan seorang ahli sihir yang pada suatu ketika uzur dan tidak dapat hadir ke mahkamah, tetapi kemudian kembali sihat sambil memikul sekampit beras.

Ahmad Fadhli bagaimanapun tidak menyatakan siapakan ‘Datuk Seri’ yang dimaksudkan itu, namun dia adalah individu yang mengatakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang lebih baik menjadi ahli zoologi.

Malam semalam, ketika melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan Abdul Hadi menukar profesion daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

Menerusi klip video yang dimuat naik menerusi YouTube, Zahid tidak menyatakan siapa yang dimaksudkan oleh beliau itu tetapi ia dipercayai ditujukan kepada Abdul Hadi yang mengulas kenyataan UMNO sebagai ‘itik patah kaki’.

Dalam ucapannya Zahid berkata:

“Kita bukanlah haiwan apatah lagi haiwan politik terutama haiwan yang patah kaki. Itik yang patah kaki. Saya mengikuti banyak wawancara dan banyak ucapan-ucapan pemimpin itu.

“Banyak kes dan kes-kes yang berkaitan dengan haiwan. Saya fikir eloklah tukar profesion daripada ahli politik kepada ahli zoologi. Saya tahu itu ilmu mantik, tetapi saya khuatir jika satu jari dituduh pada orang empat jari akan kena pada dia,” kata Zahid.

Ini bukan beras yang diangkat oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar FB

Mengulas lanjut kenyataan itu, Ahmad Fadhli berkata Presiden PAS membuat kenyataan sedemikian sebagai membalas kiasan seorang veteran UMNO yang menyifatkan PAS cuba mengajar itik berenang.

“Hanya sekadar membalas sahaja, bukan mengajar itik berenang tetapi mengubati itik yang kakinya sakit, marah benar Datuk Seri, sehingga mencadangkan Presiden kami lebih baik jadi ahli zoologi.

“Jika membalas begitu pun sudah dilabel ahli zoologi, Datuk Seri ahli apa? Ahli sihir yang sekejap uzur ke mahkamah kemudiannya sihat sejahtera memikul beras?

“Atau Datuk Seri lah sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah, bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas?

“Hairan saya, kenapa ada lagi yang mempercayai ucapan Datuk Seri yang terang-terang hanya memperbudakkan pendengar? Sebenarnya, yang dikehendaki sangat ialah tandatangan di atas sekeping watikah sahaja. Itupun tiada harga jika Datuk Seri berpindah mukim ‘ke dalam’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

‘Cikgu’ yang dimaksudkan Ketua Pemuda PAS itu dipercayai merujuk kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini sinonim disebut oleh Zahid sebagai ‘cikgu’.

Perkataan ‘cikgu’ itu tercetus dalam satu klip audio perbualan Zahid dan Anwar ketika UMNO mengadakan perhimpunan agung Mac tahun lalu, yang terdedah kepada masyarakat umum, dan cuba dinafikan kedua-duanya. Berita berkaitan 

Dalam perbualan itu, Zahid turut menyifatkan Anwar sebagai mentornya yang handal berucap.

“You tau siapa cikgu saya kan (ketawa).. cikgu saya yang handal ucapan ni orang yang saya tengah cakap ni (ketawa),” kata Zahid lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR