
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
DAP masih berkeras dengan pendirian tidak mahu menerima PAS dan Bersatu sebagai rakan kerjasama dalam membentuk khemah besar yang sedang dirundingi ketika ini.
Ketetapan menolak untuk berunding dengan Perikatan Nasional (PN) itu disuarakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang tidak mahu belajar daripada episod kekalahan semasa Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor yang lalu.
Guan Eng nampaknya seakan rela untuk melihat PKR dan Amanah yang tewas teruk dalam dua PRN sebelum ini berdepan kesulitan sekali lagi sekiranya tiada rundingan kerana pertembungan banyak penjuru hanya menguntungkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Sikap DAP yang ego dan tidak mahu bertoleransi menunjukkan mereka tidak matang dalam membuat keputusan walhal diketahui sekiranya berlaku pertembungan banyak penjuru, parti komponen seperti PKR dan Amanah yang bakal menghadapi implikasi paling teruk sekali.
Jelas Guan Eng, DAP tidak pernah berbincang membentuk khemah besar bersama PAS atau Bersatu.
“PAS jangan nak berangan mahu membentuk khemah besar dengan kita (DAP). Kita sendiri pun tidak pernah berhubung dengan mereka untuk pelawa membentuk khemah besar.
“DAP sendiri tidak setuju untuk membentuk khemah besar dengan golongan pengkhianat tebuk atap,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti Islam itu menolak pembentukan khemah besar yang diterajui Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana enggan mengadakan kerjasama dengan DAP pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Guan Eng dalam masa yang sama turut mempersoal bagaimana kenyataan tersebut secara tiba-tiba dikeluarkan kerana pihaknya tidak langsung mengadakan sebarang perbincangan dengan Pas.
“Dia (Abdul Hadi) bincang dengan siapa? Amanah? Tidak mungkin sebab mereka berdua memang tidak boleh berunding. Dengan DAP? Pun tidak mungkin. Atau bersama PKR? Siapa orangnya? Saya rasa juga tidak ada.
“Kita ini ada prinsip, kalau nak kerjasama pun bukan dengan pengkhianat sebab khemah besar ini hanya untuk pembangkang. PAS dan Bersatu adalah PN, sebahagian daripada kerajaan.
“Bagaimana ingin menyertai khemah besar? Tidak mungkin,” katanya.
Untuk rekod, semasa dua PRN Melaka dan Johor lalu, PKR dan Amanah gagal mempertahankan banyak kerusi yang mereka menangi semasa PRU-14 lalu, malah DAP juga kehilangan beberapa kerusi yang mereka tandingi.
Berbeza semasa PRU-14 lalu apabila wujudnya rundingan kerusi yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu, Pakatan Harapan (PH) berjaya menewaskan UMNO dan BN sehingga berjaya merampas kerajaan pusat buat kali pertama dalam sejarah sejak negara merdeka.