DAP tak berhak paksa UMNO terima Anwar jadi PM

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkaitan calon perdana menteri daripada Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke bukan ‘jurucakap’ UMNO yang boleh meletakkan syarat kepada parti itu, dalam isu menerima Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri jika mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam perkara itu beliau akan tetap mempertahankan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini yang menolak DAP dan Anwar.

“Bagi saya parti sudah buat keputusan ‘No Anwar, No DAP’, maka saya tidak boleh bercakap berbeza dari parti putuskan.

“Anthony Loke bukan UMNO,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui pada program berbuka puasa Kementerian Wilayah bersama media di ibu kota, malam tadi.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Anthony boleh memberi pandangan namun beliau tetap dengan pendirian menolak DAP dan Anwar.

Agenda Daily hari ini melaporkan Anthony Loke berkata mana-mana parti termasuk UMNO yang hendak bergabung dengan PH sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mesti menerima Anwar sebagai calon perdana menteri.

Tan Sri Annuar Musa beramah mesra bersama pengamal media di Majlis Berbuka Puasa Kementerian Wilayah di ibu kota malam tadi.

Katanya, PH mempunyai struktur kepemimpinan yang jelas di mana Anwar adalah pengerusinya dan layak untuk diangkat sebagai perdana menteri.

“Apa yang telah diputuskan ialah Datuk Seri Anwar adalah calon PM bagi Pakatan Harapan. Jadi kami memberi tawaran yang jelas kepada rakyat,” katanya dalam wawancara bersama stesen BFM.

UMNO dan BN setakat ini belum menyatakan siapa calon perdana menteri mereka walaupun parti itu ketika ini mempunyai presiden yang juga pengerusi BN iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Keengganan UMNO menamakan calon PM mengakibatkan akar umbi parti semakin resah dengan hala tuju parti tersebut dan mengakibatkan mereka hilang keyakinan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Sudah menjadi lumrah presiden UMNO yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) akan menjadi perdana menteri Malaysia sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum.