
Kenyataan bekas pembantu pengarah pendidikan politik DAP, Ong Kian Ming yang tular baru-baru ini berkait parti itu ketiadaan calon perdana menteri disifatkan hanya pandangan peribadi.
Naib Pengerusi DAP Pusat, Nga Kor Ming berkata bekas pemimpin DAP itu bebas memberikan pandangan.
“Baik ahli Parlimen atau pemimpin, mereka bebas untuk memberikan pendapat peribadi.
“Bagaimanapun setiap pemimpin itu adalah terikat dengan keputusan parti, jelas. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Besar Teluk Intan, hari ini (5 Mei 2023).
Beliau diminta mengulas soal kenyataan Kian Ming agar bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan menyertai DAP kerana parti itu ketiadaan calon perdana menteri ketika bersiaran pada program podcast ‘Keluar Sekejap’ bertajuk ‘Kenapa Melayu Tak Suka DAP?’.
Januari lalu, Khairy yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO dipecat daripada UMNO selepas dikatakan melanggar undang-undang disiplin parti sementara Shahril Sufian digantung keahliannya selama enam tahun.