
Perbandingan sokongan.
Pengakuan seorang pemimpin senior DAP yang mendedahkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tiada majoriti bukan suatu yang mengejutkan tetapi kerana terlalu geli mahu menjadi Perdana Menteri (PM) perlu diwujudkan persepsi kononnya beliau sudah mempunyai sokongan.
Anwar hanya perlu mengisytihar sudah memiliki majoriti dengan sokongan anak muridnya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika mahu menjadi PM tetapi sehingga sekarang ia tidak berlaku, apakah sebenarnya beliau sudah ditipu?
Keberatan Anwar untuk mengumumkan sudah mendapat sokongan Zahid termasuk beberapa Ahli Parlimen UMNO lain ini mungkin disebabkan takut dimalukan sekiranya ia dinafikan pula, memandangkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sudah membuat pendedahan berhubung sumpah dibuat oleh Zahid sebelum ini yang tidak akan menyokong Anwar dan DAP.
Sebenarnya mudah untuk meleraikan kekusutan majoriti yang tidak dimiliki Anwar ia sekiranya diumumkan secara terbuka Zahid dan beberapa MP UMNO lain sudah bersamanya untuk membentuk kerajaan baharu.
Tidak ada guna hanya mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur meletak jawatan apabila blok pembangkang sendiri kabur dengan majoriti yang dikatakan dimiliki Anwar, oleh sebab itu perlu difahami rayuan yang dibuat oleh Pakatan Harapan yang menggesa semua parti menyokong Anwar baru-baru ini.
Pengakuan Ahli Parlimen DAP Tony Pua selain mengesahkan Anwar tidak ada majoriti juga menunjukkan keghairahan dan matlamat utama adalah hanya menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional semata-mata dan tidak mempunyai hala tuju yang khusus untuk menyelesaikan kemelut politik ketika ini.
Walaupun Muhyiddin didakwa kononnya tidak mempunyai majoriti, tetapi jumlah sokongan minoriti yang dimilikinya adalah jauh lebih banyak berbanding dengan jumlah sokongan minoriti dimiliki Anwar.
Jadi, macam mana Anwar mahu menjadi PM sekiranya sokongan minoriti dimilikinya juga tidak kukuh, ia juga menimbulkan kebimbangan sekiranya UMNO akan dapat kembali berkuasa di Putrajaya sekiranya kerajaan PN dijatuhkan.
Kebimbangan tersebut bukan disebelah Bersatu atau pun PAS, tetapi kebimbangan tersebut disuarakan oleh beberapa pemimpin parti pembangkang dalam Pakatan Harapan dan juga luar daripada gabungan itu.
Sumber Agenda Daily memberitahu, meskipun matlamat pembangkang adalah untuk menjatuhkan Muhyiddin tetapi mereka juga bimbang sekiranya UMNO akan dapat kembali menjadi dominan semula dalam kerajaan pusat.
Sekiranya itu berlaku, dibimbangi masalah pentadbiran kerajaan dan usaha ke arah menangani krisis kesihatan akan terbantut kerana kemelut politik berpanjangan sehingga tiada penghujung.
UMNO sebenarnya mengharapkan model kerjasama di Perak akan dapat dilaksanakan di peringkat pusat tetapi kerajaan utama mestilah diterajui parti tersebut, ia sama seperti di Perak.
Bagaimanapun, timbul rasa kurang senang kerana kumpulan UMNO yang akan menguasai jawatan utama dalam pentadbiran kerajaan nanti akan terdiri daripada golongan kleptokrat, mereka ini juga yang sedang menyusun gerakan sama untuk menjatuhkan kerajaan PN dipimpin Muhyiddin.
Tingkahlaku dan tindak-tanduk strategi politik yang dicatur oleh Zahid bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jelas menunjukkan wujud usaha mereka ke arah untuk menerajui semula pentadbiran kerajaan.
Kedua-dua mereka yang berdepan kes mahkamah dan sudah kesuntukan masa tidak mempunyai pilihan, hanya dengan jawatan tertinggi dalam kerajaan dapat melepaskan mereka berdua daripada pertuduhan jenayah dan salah guna kuasa dihadapi mereka.
Anwar perlu sedar, Zahid dan Najib sudah tidak mempercayainya untuk membantu menyelesaikan kes mahkamah dihadapi mereka apabila DAP tidak ada memberi komitmen yang konkrit ke arah pembebasan mereka jika berjaya menumbangkan kerajaan Muhyiddin.
Jadi, tidak hairan mengapa terdapat usaha menerusi gerakan kumpulan berkecuali seperti pertubuhan bukan kerajaan untuk mendesak Najib menjadi PM semula.
Jangan pandang rendah kepada kehebatan Najib yang sudah mendapat semula wang sitaan RM114 juta yang dipulangkan, banyak perkara beliau lakukan dengan wang sebanyak itu kerana baginya survival politik lebih penting dan tirai besi bukan pilihan baginya.